Monday, January 29, 2007

Risalah 'Aliyah

AR-RISALAH AL-‘ALIYAH

FI TARIQATIN

NAQSHBANDIYAH MUJADDIDIYAH




Susunan:

Faqir Maulawi Jalaluddin Ahmad Ar-Rowi
Naqshbandi Mujaddidi Uwaisi
‘Ufiya Allahu ‘Anhu Wali Walidaihi



Dengan Keberkatan:

Syeikhul Masyaikh Khwajah Khwajahgan
Hadhrat Maulana Khan Muhammad Sahib Mudda Zilluhul ‘Ali
Naqshbandiyah Mujaddidiyah Qodiriyah Chistiyah Suhrawardiyah
Qalandariah Madariah Kubrawiyah






16 Muharram 1427 Hijriyah

KHANQAH NAQSHBANDIYAH

KANDUNGAN

1. INTISAB 3
2. MUQADDIMAH 5
3. SILSILAH ‘ALIYAH 8
4. RIWAYAT SHAH NAQSHBAND 9
5. KEKHUSUSAN TARIQAT NAQSHBANDIYAH 11
6. BAI ‘AH 13
7. MURSHID DAN MURID
8. PRINSIP ASAS TARIQAT NAQSHBANDIYAH
9. JALAN PENGHASILAN FAEDAH
10. SEPULUH LATIFAH INSAN
11. DAERAH IMKAN
12. ALAM AMAR
13. ALAM KHALAQ
14. FADHILAT ZIKRULLAH
15. KELEBIHAN ZIKIR KHAFI
16. SYARAT ZIKRULLAH
17. ZIKIR ISMU ZAT
18. KAIFIAT ZIKIR ISMU ZAT
19. LATIFAH QALB
20. LATIFAH RUH
21. LATIFAH SIRR
22. LATIFAH KHAFI
23. LATIFAH AKHFA
24. LATIFAH NAFS
25. LATIFAH QALIBIAH [ TANAH, AIR, API, ANGIN ]
26. ZIKIR NAFI ITSBAT
27. KAIFIAT ZIKIR NAFI ITSBAT
28. MURAQABAH [ AHADIYAT ]
29. RABITAH SYEIKH
30. BERSAHABAT DENGAN SYEIKH
31. USUL ASAS TARIQAT NAQSHBANDIYAH
32. FANA FI-SHEIKH
33. FANA FI-RASUL
34. FANA FI-LLAH
35. WILAYAH SUGHRA
36. MURAQABAH MA’IYAT
37. DAWAM HUDHUR DAN JAM’IYAT
38. JAZBAH DAN WARID
39. FATHUL BAB
40. TAUHID WUJUDI
41. FANA QALB
42. FANA NAFS
43. HAQIQAT FANA DAN BAQA
44. MAQAMAT ‘ASYARAH [ SEPULUH MAQAMAT ]
45. WILAYAH KUBRA
46. MURAQABAH AQRABIYAT
47. SYARH SADR
48. TAUHID SYUHUDI
49. WILAYAH ‘ULYA
50. MURAQABAH ISIM AZ-ZAHIR DAN AL-BATIN
51. DAERAH KAMALAT NUBUWAT
52. MURAQABAH KAMALAT NUBUWAT
53. DAERAH KAMALAT RISALAT
54. DAERAH KAMALAT ULUL ‘AZMI
55. MURAQABAH KAMALAT RISALAT DAN ULUL ‘AZMI
56. HAQAIQ SAB’AH [ TUJUH HAQIQAT ]
57. HAQIQAT ILAHIYAH
58. DAERAH HAQIQAT KA’BAH ROBBANI
59. MURAQABAH HAQIQAT KA’BAH
60. DAERAH HAQIQAT AL-QURAN
61. MURAQABAH HAQIQAT AL-QURAN
62. DAERAH HAQIQAT SOLAH
63. MURAQABAH HAQIQAT SOLAH
64. DAERAH MA’BUDIYAT SARFAH
65. MURAQABAH MA’BUDIYAT SARFAH
66. HAQIQAT ANBIYA
67. HAQIQAT IBRAHIMI
68. MURAQABAH HAQIQAT IBRAHIMI
69. HAQIQAT MUSAWI
70. MURAQABAH HAQIQAT MUSAWI
71. HAQIQAT MUHAMMADI
72. MURAQABAH HAQIQAT MUHAMMADI
73. HAQIQAT AHMADI
74. MURAQABAH HAQIQAT AHMADI
75. DAERAH MUHABBAH SARFAH
76. DAERAH MAHBUBIYAH ZATIYAH MUMTAZIJAH
77. DAERAH MAHBUBIYAH ZATIYAH SARFAH
78. DAERAH HUBB SARFAH ZATIYAH
79. DAERAH LA TA’YIN
80. DAERAH SAYFU QOTI’
81. DAERAH QAYYUMIAT
82. DAERAH HAQIQAT SAUM
83. NASIHAT & WASIAT
84. RIWAYAT HADHARAT MASYAIKH NAQSHBANDIYAH
85. SYAJARAH TAYYIBAH SILSILAH ‘ALIYAH
86. ZIKIR KHATAM KHWAJAGAN
87. ZIKIR KHATAM
88. KAIFIAT ZIKIR TAHLIL LISANI
89. ISTILAH NAQSHBANDIYAH
90. GLOSARI


INTISAB

D
aku persembahkan risalah ini kepada sekelian Hadhrat Masyaikh Naqsbandiyah Mujaddidiah & Uwaisiyah khasnya guruku yang dikasihi lagi dihurmati Sayyidina wa Murshidina Qiblah Syeikhul Masyaikh ‘Arab wa ‘Ajam Khwajah Khwajagan Hadhrat Maulana Khan Muhammad Sahib Mudda Zilluhul ‘Ali Khanqah Sirajiah dan daku namakannya sebagai Risalah ‘Aliyah Fi Tariqatin Naqshbandiyah Mujaddidiyah yang bermakna sebuah risalah yang tinggi kandungannya pada menerangkan jalan tariqat yang tinggi dan mulia iaitu jalan Silsilah Tariqat Naqshbandiyah Mujaddidiyah.

Hadhrat Maulana Khan Muhammad Sahib dilahirkan pada tahun 1920 Masihi di sebuah perkampungan bernama Dang dalam daerah Mianwali, Pakistan. Nasab beliau dari bapanya bernama Malik Khwajah ‘Umar Sahib anak kepada Malik Mirza Sahib anak kepada Malik Ghulam Muhammad Sahib dari suku kaum Talukar, Rajput.

Beliau memperolehi Nisbat Batiniyah menerusi Qayyum Zaman Sayyidina wa Murshidina Qiblah Hadhrat Aqdas Maulana Muhammad ‘Abdullah Rahmatullah ‘alaih yang merupakan penyambung Silsilah ini sesudah Hadhrat A’la Maulana Abus Sa’ad Ahmad Khan Rahmatullah ‘alaih dan beliau mengambil Silsilah ‘Aliyah Naqshbandiyah Mujaddidiyah ini dari Imamul Auliya Hadhrat Khwajah Haji Muhammad Sirajuddin Rahmatullah ‘alaih.

Bapanya Hadhrat Malik Khwajah ‘Umar Rahmatullah ‘Alaih merupakan saudara sepupu dengan Hadhrat A’la Maulana Abus Sa’ad Ahmad Khan Rahmatullah ‘alaih. Hadhrat Maulana Khan Muhammad Sahib memulakan pengajian di sekolah rendah akademik sehingga ke darjah 6 atas kehendak bapanya, kemudian menghantarnya kepada Hadhrat A’la Maulana Abus Sa’ad Ahmad Khan Rahmatullah ‘alaih untuk mempelajari ilmu-ilmu Syari’at dan Tariqat serta berkhidmat di Khanqah Sirajiah.

Beliau mula-mula mempelajari Al-Quran dari Maulana Sayyid ‘Abdul Latif Shah Sahib kemudian mempelajari Adab Kesusasteraan Farsi dan seterusnya mempelajari Ilmu Nahwu dan Saraf Bahasa ‘Arab dari Hadhrat Aqdas Maulana Muhammad ‘Abdullah Rahmatullah ‘alaih.

Setelah mendapat pengajian asas agama, beliau melanjutkan pengajiannya di Darul ‘Ulum ‘Aziziah dan seterusnya melanjutkan pengajian tingginya di Jamiah Islamiah Dabhil dalam daerah Surat, India. Di sana beliau mempelajari kitab Mishkat, Jalalain, Hidayah, Maqamat Hariri dan berbagai lagi kitab.

Sesudah itu beliau melanjutkan lagi pengajiannya dalam bidang Tafsir dan Hadis di Darul ‘Ulum Deoband pada tahun 1362 Hijrah. Di sana beliau mendapat pendidikan Hadis dari Hadhrat Maulana Sayyid Hussin Ahmad Madani Quddisa Sirruhu dan Maulana I’zaz ‘Ali Sahib Rahmatullah ‘alaih.

Setelah tamat pengajiannya ilmu Syari’at beliau kembali ke Khanqah Sirajiah untuk mendalami ilmu Tariqat dan penyucian batin dari Hadhrat A’la Maulana Abus Sa’ad Ahmad Khan Rahmatullah ‘alaih. Beliau mempelajari kitab Kanzul Hidayat, Makatib Hadhrat Shah Ghulam ‘Ali Dehlawi Quddisa Sirruhu, Hidayatut Tolibin, Maktubat Ma’sumiah dan Maktubat Imam Robbani Hadhrat Mujaddid Alf Tsani Quddisa Sirruhu.
Beliau berkhidmat di Khanqah Sirajiah selama bertahun-tahun di bawah asuhan Hadhrat A’la Maulana Abus Sa’ad Ahmad Khan Rahmatullah ‘alaih dan sesudah kewafatan gurunya, beliau meneruskan khidmatnya di Khanqah Sirajiah di bawah asuhan Hadhrat Aqdas Maulana Muhammad ‘Abdullah Rahmatullah ‘alaih dan di bawah asuhannyalah beliau menamatkan kesemua maqam dalam suluk sehingga menerima Khilafah dan Ijazah dalam Silsilah ‘Aliyah Naqshbandiyah Mujaddidiyah.

Setelah itu, beliau menerima Khilafah dan Ijazah dalam empat silsilah iaitu Naqshbandiyah Mujaddidiyah, Qadiriyah, Chistiyah dan Suhrawardiyah dari Hadhrat Haji Mian Jan Muhammad Sahib Rahmatullah ‘alaih. Kemudian beliau menerima Khilafah dan Ijazah dalam tujuh silsilah iaitu Naqshbandiyah Mujaddidiyah, Qadiriyah, Chistiyah, Suhrawardiyah, Qalandariyah, Madariyah dan Kubrawiyah dari Hadhrat Sayyid ‘Abdul Latif Shah Sahib Rahmatullah ‘alaih.

Hadhrat Maulana Khan Muhammad Sahib meupakan salah seorang penyambung silsilah Tariqat Naqshbandiyah Mujaddidiyah yang tinggi dan merupakan seorang Syaikhul Masyaikh yakni Syeikh para Syeikh atau disebut sebagai Khwajah Khwajahgan.

Di samping menjalankan tanggungjawab Tazkiyatul Qulub yakni penyucian hati kepada para muridnya atas jalan Naqshbandiyah, beliau juga menjalankan tanggungjawab sebagai Amir Jemaah ‘Alami Majlis Tahafuz Khatamun Nubuwwat bagi menentang golongan sesat Qadiani yang diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad Qadiani di seluruh dunia atau kini dikenali sebagai Pergerakan Ahmadiyah.

Pergerakan sesat Ahmadiyah Qadiani ini telah menular ke sebahagian besar negara-negara Islam dan bukan Islam seperti India, Pakistan, England, Amerika, Afrika, Malaysia, Indonesia dan Singapura. Bagi menangkis pergerakan sesat inilah maka Majlis Tahafuz Khatamun Nubuwwat dibangkitkan pada 12 Rabi’ul Akhir 1374 Hijrah bersamaan 13 Disember tahun 1954 Masihi dan Amir Jemaah pertama yang dilantik adalah Hadhrat Maulana Sayyid ‘Ataullah Shah Bukhari Rahmatullah ‘alaih.

Pada 12 Syawal 1382 Hijrah bersamaan 9 Mac 1963, Amir Jemaah kedua iaitu Hadhrat Qadhi Ihsan Ahmad Syuja’ Abadi telah dilantik bagi menggantikan Hadhrat Maulana Sayyid ‘Ataullah Shah Bukhari Rahmatullah ‘alaih. Pada 9 Sya’ban 1386 Hijrah bersamaan 23 November 1966 Amir Jemaah yang ketiga ialah Hadhrat Maulana Muhammad ‘Ali Jalandhari.

Pada 24 Safar 1391 Hijrah bersamaan 21 April 1971 Hadhrat Maulana Lal Hussin Akhtar telah dilantik sebagai Amir Jemaah yang keempat. Pada 29 Rabi’ul Akhir 1392 Hijrah bersamaan 11 Jun 1973 Hadhrat Maulana Muhammad Hayat telah dilantik sebagai Amir Jemaah yang kelima. Pada 5 Rabi’ul Awal 1394 Hijrah bersamaan 9 April 1974 Maulana Sayyid Muhammad Yusuf Binori telah dilantik sebagai Amir Jemaah yang keenam dan Hadhrat Maulana Khan Muhammad telah dilantik sebagai Naib Amir.

Pada 3 Zulkaedah 1397 Hijrah bersamaan 17 Oktober 1977 Hadhrat Maulana Khan Muhammad Sahib telah dilantik sebagai Amir Jemaah yang ketujuh. Sehingga kini beliau masih berada di Khanqah Sirajiah, Kundiyan, Mianwali, Pakistan. Beliau mempunyai ramai murid dan pengikut dari seluruh benua Hindi, Arab, Eropah dan Nusantara.


MUQADDIMAH

S
egala pujian dan sanjungan adalah untuk Allah Subhanahu wa Ta’ala Pemelihara Sekelian ‘Alam, dengan pujian yang sebanyak-banyaknya dengan penuh kebaikan dan keberkatan padanya sepertimana yang dikasihi dan diredhoi oleh-Nya. Sesungguhnya Dialah yang memuji Diri-Nya dan memberikan taufiq kepada hamba-hambaNya yang terpuji untuk memuji DiriNya. Sesungguhnya hanya Dialah yang layak dipuji kerana Dialah yang memuji DiriNya dan Dialah zat yang dipuji. Sesungguhnya Allah adalah Zat Yang Terpuji lagi Memiliki Kemuliaan. Segala puji bagi Allah dalam setiap hal dan keadaan.

Wahai Allah, limpahkanlah Rahmat ke atas Baginda Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam dan isteri-isteri Baginda selaku ibu-ibu orang beriman, dan ke atas zuriat Baginda dan ahli keluarga Baginda sepertimana yang telah Allah rahmati ke atas Baginda Nabi Ibrahim ‘alaihissalam dan ke atas ahli keluarga Nabi Ibrahim a.s. Semoga Allah membalas kebaikan bagi pihak kami terhadap Muhammad s.a.w. apa yang layak untuknya.

Sesudah kata-kata pujian sanjungan dan memohon Rahmat dari Allah, hamba yang faqir lagi hina, yang di bawah tapak kaki para Masyaikh, yang tiada apa-apa lagi miskin ini Faqir Jalaluddin Ahmad Ar-Rowi Naqshbandi Mujaddidi, semoga diampunkan dosa-dosanya dan kedua ibubapanya, ingin menjelaskan bahawa sebahagian dari para pencinta jalan Tariqat yang bersahabat denganku kerana Allah di jalan Allah telah meminta daku menjelaskan tentang hal ehwal Tariqat, khususnya Tariqat Naqshbandiyah beserta pengamalannya, kaedah Zikir dan Muraqabah pada maqam-maqamnya.

Mereka juga meminta daku menghuraikan tentang rahsia-rahsia dan penghasilan Warid dalam perjalanan Suluk Tariqat, Tawajjuh Syeikh dan Nisbat Silsilah serta segala yang berkaitan dengan Tariqat Naqshbandiyah Mujaddidiyah terutamanya Zikir Khafi yang diamalkan iaitu Ismu Zat, Nafi Itsbat, Muraqabah dan Rabitah.

Sebenarnya segala maklumat ini ada dijelaskan secara terperinci dalam himpunan surat-surat Imam Robbani Mujaddid Alf Tsani Hadhrat Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi Rahmatullah ‘alaih dan risalah-risalah Qutbul Aqtab Hadhrat Syeikh Abdullah Shah Ghulam ‘Ali Dehlawi Rahmatullah ‘alaih yang mana ada mengandungi nasihat-nasihat dan penjelasan mengenai Tariqat Naqshbandiyah.

Walaubagaimanapun, kebanyakan pengetahuan tersebut ditulis dalam bahasa Arab, Farsi dan Urdu. Maklumat dalam bahasa Melayu amat kurang di dapati lebih-lebih lagi dalam Bahasa Malaysia. Beberapa buku tentang Tariqat Naqshbandiyah memang ada di rantau Nusantara tetapi kebanyakannya ditulis oleh pengarang-pengarang dari Indonesia dan agak sukar untuk diperolehi, lalu faqir telah diminta menulis pengetahuan Tariqat ini dalam bahasa Melayu Malaysia.

Risalah di tangan faqir ini adalah huraian dari kandungan kitab-kitab tentang Tariqat Naqshbandiyah iaitu kitab ‘Hidayatut Tolibin’ karya Hadhrat Sahibzadah Hafiz Shah Abu Said Sahib Dehlawi Naqshbandi Mujaddidi Rahmatullah ‘alaihi, kitab ‘Idhahut Tariqah’ karya Sayyidina wa Maulana Qiblah Hadhrat Shah Ghulam ‘Ali Dehlawi Rahmatullah ‘alaihi dan kitab ‘Hadharat Kiram Naqshbandiyah’ karya Hadhrat Hafiz Nazir Ahmad Naqshbandi Mujaddidi dengan ijazah dari Syaikhul Mashaikh Sayyidina wa Murshidina Qiblah Hadhrat Maulana Khan Muhammad Sahib Khanqah Sirajiah.

Daku tujukan juga Risalah ‘Aliyah ini khususnya kepada mereka yang mengambil jalan tariqat aliran Naqshbandiyah Mujaddidiyah yang tersebar meluas di Asia Tengah dan serata pelosok alam. Adapun hamba yang fakir hina ini tidak memiliki sebarang kekuatan dan daya upaya untuk mengangkat tangan bagi menyediakan risalah ini, namun harapan hamba dapatlah risalah ini disiapkan dengan berkat limpahan dari Allah s.w.t. jua. Segala puji bagi Allah dalam setiap hal keadaan.

Menerusi jalan Tariqat Naqshbandiyah ini faqir telah menerima tawajjuh dari beberapa orang Syeikh yang di antaranya adalah Hadhrat Syeikh Raja Ashman Shah Haqqani Putera Sultan Azlan Shah Perak Darul Ridzuan, Hadhrat Syeikh Muhammad Kamal Khalidi Rumah Suluk Batu Gajah, Hadhrat Syeikh Muhammad ‘Ali Rumah Suluk Balik Pulau dan Hadhrat Syeikh Muhammad Hisham Kabbani Khalifah Kanan Hadhrat Syeikh Muhammad Nazim Adil Qubrusi Haqqani Qaddasallahu Asrarahum.

Hamba yang faqir ini telah dikurniakan Nur Hidayah dari Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagai seorang Majzub pada tahun 1991 Masihi ketika daku berusia 19 tahun. Daku telah mengalami Jazbah untuk menuju ke Hadhrat Allah Subhanahu wa Ta’ala menerusi zikir yang banyak. Seterusnya sebagai seorang Salik, daku telah keluar di Jalan Allah atas tujuan Islah dan Dakwah Tabligh selama 40 hari di Negeri Sembilan bersama Jemaah Tabligh.

Dengan Hidayah dan ‘Inayah dari Allah, setelah kembali dari bertabligh di Jalan Allah hamba telah disampaikan ke Maqam Sultanul ‘Arifin Hadhrat Maulana Syeikh Ismail Rahmatullah ‘alaih di Pulau Besar, Melaka dibawa oleh seorang hamba Allah yang bernama Muhammad Zakaria yang ada menyertaiku di dalam jemaah ketika berada di Jalan Allah. Di sana daku telah dibai’ahkan dengan Silsilah Qadiriyah yang dinisbatkan kepada Sultanul Aulia Hadhrat Maulana Syeikh ‘Abdul Qadir Jailani Rahmatullah ‘alaih. Sultanul ‘Arifin Hadhrat Maulana Syeikh Ismail Rahmatullah ‘alaih adalah cicit kepada Hadhrat Maulana Syeikh ‘Abdul Qadir Jailani Rahmatullah ‘alaih yang telah datang berhijrah ke Tanah Melayu pada abad ke 15 Masihi dan menetap di Pulau Besar, Melaka.

Nisbat Batin beliau adalah Naqshbandiyah dan beliau memperolehi dari gurunya Hadhrat Maulana Syeikh Yusuf Rahmatullah ‘alaih yang maqamnya juga berada di Pulau Besar, Melaka bersebelahan dengan maqam Sultanul ‘Arifin Hadhrat Maulana Syeikh Ismail Rahmatullah ‘alaih. Daku terus mengamalkan Zikir Jihri Awrad Qadiriyah sehingga fana. Dengan keberkatan Hadhrat Sultan Arifin, inilah permulaan daku menerima Nisbat Naqshbandiyah Qadiriyah.

Setelah mencapai maqam Fana atas jalan zikir dan dakwah tabligh, pada tahun 1992 Masihi, daku telah diberikan taufiq oleh Allah s.w.t. untuk berkhidmat kepada seorang Da’I dan Wali Allah yang bernama Hadhrat Syeikh Habibullah Rahmatullah ‘alaih di Seri Petaling, yang merupakan markaz Dakwah Tabligh di Nusantara. Daku telah berkhidmat kepadanya selama setahun lalu diberikan taufiq oleh Allah s.w.t. untuk keluar berdakwah tabligh selama 40 hari di Negeri Johor dan 40 hari di Medan, Sumatera.

Di samping itu daku juga giat menjalankan kerja-kerja maqami Jemaah Masjid dan menjalankan usaha mengajak manusia keluar ke Jalan Allah di Kampung Aman, Pokok Assam, Taiping, Perak. Membentuk jemaah dakwah untuk menjalankan usaha di sekitar Pulau Pinang, Gombak, Sungai Besi dan Seri Petaling. Kemudian daku berusaha mengumpulkan perbelanjaan untuk keluar ke Jalan Allah selama 4 bulan di benua Hindi.

Pada tahun 1993 Masihi, sebelum hamba keluar 4 bulan di Jalan Allah ke negara India, Pakistan dan Bangladesh untuk Islah dan mempelajari usaha Dakwah dan Tabligh di sana, hamba telah di temukan dengan Hadhrat Maulana Syeikh Raja Ashman Shah, Putera Sultan Azlan Shah Negeri Perak Darul Ridzuan yang merupakan Khalifah Hadhrat Maulana Syeikh Nazim ‘Adil Qubrusi Al-Haqqani bagi rantau Nusantara oleh seorang hamba Allah yang juga merupakan saudaraku atas jalan tariqat yang bernama Muhammad Daud. Daku telah berbai’ah dengannya dan menerima Nisbat Naqshbandiyah Haqqaniyah.

Setelah 40 hari daku berada di India, daku telah berbai’ah dengan Amir Jemaah Tabligh iaitu Hadratji Maulana Syeikh In’amul Hassan di Basti Nizamuddin, Delhi atas jalan Dakwah dan Tabligh. Beliau merupakan salah seorang Syeikh Besar Tariqat Chistiyah. Di India daku telah berpeluang untuk bersohbet dengan Para Masyaikh Chistiyah dan daku juga telah berpeluang menziarahi maqam dan mengambil Faidhz dari Hadhrat Maulana Syeikh Nizamuddin Aulia Rahmatullah ‘alaih dan Hadhrat Maulana Syeikh Muhammad Ilyas Rahmatullah ‘alaih yang merupakan pengasas gerakan Jemaah Tabligh di India pada awal kurun ke 19 Masihi.

Pada tahun 1994 Masihi, hamba telah diberikan taufiq oleh Allah s.w.t. untuk mendalami ilmu-ilmu Syari’at. Daku telah ke Lahore, Pakistan untuk belajar di sebuah madrasah yang bernama Al-Jami’ah Al-Ashrafiah. Di sana daku telah memulakan pengajian dengan menghafal beberapa juzuk Al-Quran lalu mempelajari Nahwu, Saraf dan Sighah bahasa Arab, Bahasa Farsi, Adab Kesusasteraan Arab dan Farsi, Mantiq, Balaghah dan Ma’ani, Feqah dan Usul Feqah Mazhab Hanafi, terjemah dan tafsir Al-Quran dari guruku yang bernama Hadhrat Maulana Ahmad Ali Ashrafi dan Hadhrat Maulana Muhammad Zahid Ashrafi. Daku mempelajari Ilmu Hadis dari guruku Hadhrat Maulana Muhammad Zubair Ruhani Bazi yang merupakan putera sulung Syaikhul Hadits Hadhrat Maulana Syeikh Muhammad Musa Ruhani Bazi Rahmatullah ‘alaih.

Adapun sewaktu hamba berada di Pakistan pada bulan Syawal 1420 Hijrah bersamaan dengan tahun 1998 Masihi, sekembalinya daku dari bertabligh di Jalan Allah, hamba telah bermohon kepada Allah agar ditemukan dengan seorang Syeikh yang sempurna mengamalkan Syariat Nabawiyah dan Tariqat Naqshbandiyah, yang telah mencapai Hakikat dalam Ma’rifat kepada Allah dan dapat membawaku ke maqam Musyahadah.

Setelah hal urusanku ini terhitung di sisi Allah, maka daku telah di bawa ke bawah tapak kaki Hadhrat Syeikhul Masyaikh Maulana Khwajah Khan Muhammad Sahib di Khanqah Sirajiah, Kundiyan, Mianwali, Pakistan. Daku telah memperbaharukan Bai’ah dan beliau mentalqinkan kalimah Ismu Zat serta pengetahuan Tariqat Naqshbandiyah.

Segala peningkatan rohani dan warid yang terhasil adalah dengan berkat tawajjuh Hadhrat Syeikh dan sebagai menzahirkan kesyukuran hamba faqir menyiapkan risalah ini. Dengan keberkatan dan tawajjuh dari Hadhrat Shah Naqshband, faqir telah menerima nisbat Naqshbandi Qadiri, Naqshbandi Haqqani, Naqshbandi Khalidi, Naqshbandi Mujaddidi dan Naqshbandi Uwaisi. Segala puji bagi Allah di atas segala nikmat ini.
SILSILAH ‘ALIYAH
NAQSHBANDIYAH MUJADDIDIYAH

Allah Subhanahu wa Ta’ala
Jibril ‘Alaihis Salaam
Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam
Abu Bakar Siddiq Radhiyallahu ‘Anhu
Salman Farsi Radhiyallahu ‘Anhu
Qasim Radhiyallahu ‘Anhu
Imam Ja’afar Sadiq Radhiyallahu ‘Anhu
Abu Yazid Bustami Rahmatullah ‘Alaih
Abul Hassan Kharqani Rahmatullah ‘Alaih
Abu ‘Ali Faramadi Rahmatullah ‘Alaih
Abu Ya’qub Yusuf Hamdani Rahmatullah ‘Alaih
Abul ‘Abbas Khidhr ‘Alaihis Salam
‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘Alaih
‘Arif Riwagari Rahmatullah ‘Alaih
Mahmud Anjir Faghnawi Rahmatullah ‘Alaih
‘Azizan ‘Ali Ramitani Rahmatullah ‘Alaih
Muhammad Baba Sammasi Rahmatullah ‘Alaih
Sayyid Mir Kullal Rahmatullah ‘Alaih
Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘Alaih
‘Alauddin ‘Attar Rahmatullah ‘Alaih
Ya’qub Charkhi Rahmatullah ‘Alaih
‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih
Muhammad Zahid Rahmatullah ‘Alaih
Darwish Muhammad Rahmatullah ‘Alaih
Khwajah Amkangi Rahmatullah ‘Alaih
Muhammad Baqi Billah Rahmatullah ‘Alaih
Ahmad Faruqi Sirindi Rahmatullah ‘Alaih
Muhammad Ma’sum Rahmatullah ‘Alaih
Syeikh Saifuddin Rahmatullah ‘Alaih
Nur Muhammad Budayuni Rahmatullah ‘Alaih
Mirza Mazhar Jan Janan Rahmatullah ‘Alaih
Abdullah Shah Ghulam ‘Ali Rahmatullah ‘Alaih
Shah Abu Sa’id Rahmatullah ‘Alaih
Shah Ahmad Sa’id Rahmatullah ‘Alaih
Dost Muhammad Qandahari Rahmatullah ‘Alaih
Muhammad ‘Utsman Rahmatullah ‘Alaih
Muhammad Sirajuddin Rahmatullah ‘Alaih
Abu Sa’ad Ahmad Khan Rahmatullah ‘Alaih
Muhammad ‘Abdullah Rahmatullah ‘Alaih
Abu Khalil Khan Muhammad Mudda Zilluhu ‘Ali
Faqir Jalaluddin Ahmad ‘Ufiya Allah ‘Anhu

RIWAYAT SHAH NAQSHBAND

B
eliau adalah Imam Tariqat Hadhrat Khwajah Khwajagan Sayyid Shah Muhammad Bahauddin Bukhari Naqshband Rahmatullah ‘alaih dilahirkan pada bulan Muharram tahun 717 Hijrah bersamaan 1317 Masihi di sebuah perkampungan bernama Qasrul ‘Arifan berdekatan Bukhara.

Beliau menerima pendidikan awal Tariqat secara zahir dari gurunya Sayyid Muhammad Baba Sammasi Rahmatullah ‘alaih dan seterusnya menerima rahsia-rahsia tariqat dan Khilafah dari Syeikhnya, Sayyid Amir Kullal Rahmatullah ‘alaih. Beliau menerima limpahan Faidhz secara Uwaisi dari Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam menerusi Hadhrat Khwajah ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih yang telah 200 tahun mendahuluinya.

Shah Naqshband Rahmatullah ‘alaih telah berkata:

Pada suatu hari aku dan sahabatku sedang bermuraqabah, lalu pintu langit terbuka dan gambaran musyahadah hadir kepadaku lalu aku mendengar satu suara berkata,
“Tidakkah cukup bagimu untuk meninggalkan mereka yang lain dan hadir ke Hadhrat Kami secara berseorangan?”

Suara itu menakutkan daku hingga menyebabkan daku lari keluar dari rumah. Daku berlari ke sebuah sungai dan terjun ke dalamnya. Daku membasuh pakaianku lalu mendirikan Solat dua raka’at dalam keadaan yang tidak pernah daku alami, dengan merasakan seolah daku sedang bersolat dalam kehadiranNya.

Segala-galanya terbuka dalam hatiku secara Kashaf. Seluruh alam lenyap dan daku tidak menyedari yang selainnya melainkan bersolat dalam kehadiranNya.

Aku telah ditanya pada permulaan penarikan tersebut,
“Mengapa kau ingin memasuki jalan ini?”

Aku menjawab,
“Supaya apa sahaja yang aku katakan dan kehendaki akan berlaku.”

Aku dijawab,
“Itu tidak akan berlaku. Apa sahaja yang Kami katakan dan apa sahaja yang Kami kehendaki itulah yang akan berlaku.”

Dan aku pun berkata,
“Aku tak dapat melakukannya, aku mesti diizinkan untuk mengatakan dan melakukan apa sahaja yang aku kehendaki, ataupun aku tidak mahu jalan ini.”

Lalu daku menerima jawapan,
“Tidak, adalah apa sahaja yang Kami mahu ianya diperkatakan dan apa sahaja yang Kami mahu ianya dilakukan itulah yang mesti dikatakan dan dilakukan.”

Dan daku sekali lagi berkata,
“Apa sahaja yang ku katakan dan apa sahaja yang ku lakukan adalah apa yang mesti berlaku.”

Lalu daku ditinggalkan keseorangan selama lima belas hari sehingga daku mengalami kesedihan dan tekanan yang hebat.

Kemudian daku mendengar satu suara,
“Wahai Bahauddin, apa sahaja yang kau mahukan, Kami akan berikan.”

Daku amat gembira lalu berkata,
“Aku mahu diberikan suatu jalan Tariqat yang akan menerajui sesiapa jua yang menempuhnya terus ke Hadhrat Yang Maha Suci”,

Dan daku telah mengalami musyahadah yang hebat dan mendengar suara berkata,
“Dikau telah diberikan apa yang telah dikau minta.”

Beliau telah menerima limpahan kerohanian dan prinsip dasar Tariqat Naqshbandiyah dari Hadhrat Khwajah ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih yang terdiri dari lapan perkara iaitu :

Yad Kard, Baz Gasyt, Nigah Dasyat, Yad Dasyat, Hosh Dar Dam, Nazar Bar Qadam, Safar Dar Watan, Khalwat Dar Anjuman.

Hadhrat Shah Naqshband Rahmatullah ‘alaih telah menambah tiga lagi prinsip menjadikannya sebelas iaitu :
Wuquf Qalbi, Wuquf ‘Adadi dan Wuquf Zamani.

Hadhrat Shah Naqshband Rahmatullah ‘alaih telah berkata,

“Jalan Tariqat kami adalah sangat luarbiasa dan merupakan ‘Urwatil Wutsqo (Pegangan Kukuh), dengan berpegang teguh secara sempurna dan menuruti Sunnah Baginda Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan Para Sahabat Radhiyallahu ‘anhum ajma’in.

Mereka telah membawa daku ke jalan ini dengan Kekurniaan. Dari awal hingga ke akhir daku hanya menyaksikan Kekurniaan Allah bukan kerana amalan.

Menerusi jalan Tariqat kami, dengan amal yang sedikit, pintu-pintu Rahmat akan terbuka dengan menuruti jejak langkah Sunnah Baginda Rasulullah Sallahllu ‘alaihi wa sallam.”

Beliau mempunyai dua orang Khalifah besar iaitu Hadhrat Khwajah ‘Alauddin ‘Attar Rahmatullah ‘alaih dan Hadhrat Khwajah Muhammad Parsa Rahmatullah ‘alaih, pengarang kitab Risalah Qudsiyyah.



KEKHUSUSAN TARIQAH ‘ALIYAH NAQSHBANDIYAH

H
adhrat Imam Robbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi Rahmatullah ‘alaih telah berkata,

“Ketahuilah bahawa tariqat yang paling Aqrab dan Asbaq dan Aufaq dan Autsaq dan Aslam dan Ahkam dan Asdaq dan Aula dan A’la dan Ajal dan Arfa’ dan Akmal dan Ajmal adalah Tariqah ‘Aliyah Naqshbandiyah, semoga Allah Ta’ala mensucikan roh-roh ahlinya dan mensucikan rahsia-rahsia Para Masyaikhnya.

Mereka mencapai darjat yang tinggi dengan berpegang dan menuruti Sunnah Baginda Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam. dan menjauhkan dari perkara Bid’ah serta menempuh jalan Para Sahabat Radhiallahu.‘anhum.

Mereka berjaya mencapai kehadiran limpahan Allah secara berterusan dan syuhud serta mencapai maqam kesempurnaan dan mendahului mereka yang lain”.

Adapun Hadhrat Imam Robbani Mujaddid Alf Tsani Rahmatullah ‘alaih telah menerangkan kelebihan dan keunggulan Tariqah Naqshbandiyah dengan beberapa lafaz yang ringkas dan padat adalah menerusi pengalaman kerohaniannya. Beliau merupakan seorang pembaharu agama (Mujaddid/Reformer).

Sebelum beliau menerima Silsilah Naqshbandiyah beliau telah menempuh beberapa jalan tariqat seperti Chistiyah, Qodiriyah, Suhrawardiyah, Kubrawiyah dan beberapa tariqat yang lain dengan cemerlang serta memperolehi Khilafah dan Sanad Ijazah. Beliau berpendapat bahawa dari kesemua jalan tariqat, yang paling mudah dan paling berfaedah adalah Tariqat Naqshbandiyah dan telah memilihnya serta telah menunjukkan jalan ini kepada para penuntut kebenaran.

“Allahumma ajzahu ‘anna jaza an hasanan kafiyan muwaffiyan
li faidhanihil faidhi fil afaq”.

Terjemah: “Wahai Allah, kurniakanlah kepada kami kurnia yang baik, cukup lagi mencukupkan dengan limpahan faidhznya yang tersebar di Alam Maya.”

Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Bukhari Rahmatullah ‘alaih telah bersujud selama lima belas hari di hadapan Allah dengan penuh hina dan rendah diri, berdoa memohon kepada Allah agar ditemukan dengan jalan Tariqat yang mudah dan senang bagi seseorang hamba bagi mencapai Zat Maha Esa. Allah s.w.t. telah mengkabulkan doanya dan menganugerahkan Tariqat yang khas ini yang masyhur dengan nisbat Naqshband atau digelar Naqshbandiyah.

Naqsh bererti lukisan, ukiran, peta atau tanda dan Band pula bererti terpahat, terlekat, tertampal atau terpateri. Naqshband pada maknanya bererti ‘Ukiran yang terpahat’ dan maksudnya adalah mengukirkan kalimah Allah di hati sanubari sehingga ianya benar-benar terpahat di dalam pandangan mata hati yakni pandangan Basirah.

Silsilah ini dinisbatkan kepada Hadhrat Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq Radhiyallahu ‘anhu yang mana telah disepakati sebagai sebaik-baik manusia sesudah Para Nabi. Asas Tariqat ini adalah seikhlas hati menuruti Sunnah Nabawiyah s.a.w. dan menjauhkan diri dari segala jenis Bid’ah merupakan syarat yang lazim.

Tariqat ini mengutamakan Jazbah suluk yang mana dengan berkat tawajjuh seorang Syeikh yang sempurna akan terhasillah kepada seseorang penuntut itu beberapa Ahwal dan Kaifiat yang dengannya Zauq dan Shauq penuntut itu bertambah, merasakan kelazatan khas Zikir dan Ibadat serta memperolehi ketenangan dan ketenteraman Ruh. Seseorang yang mengalami jazbah disebut sebagai Majzub.

Dalam tariqat ini, penghasilan faidhz dan peningkatan darjat adalah berdasarkan persahabatan dengan Syeikh dan tawajjuh Syeikh. Bersahabat dengan Syeikh hendaklah dilakukan sebagaimana para Sahabat berdamping dengan Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Murid hendaklah bersahabat dengan Syeikh dengan penuh hormat. Sekadar mana kuatnya persahabatan dengan Syeikh, maka sekadar itulah cepatnya seseorang itu akan berjalan menaiki tangga peningkatan kesempurnaan rohaniah.

Kaedah penghasilan faidhz dalam tariqat ini adalah sepertimana para Sahabat menghadiri majlis Baginda Nabi s.a.w. Dengan duduk bersama-sama menghadiri majlis Nabi s.a.w. yang berkat dengan hati yang benar dan ikhlas serta penuh cinta biarpun sekali, orang yang hadir itu akan mencapai kesempurnaan iman pada maqam yang tertinggi.

Begitulah keadaanya apabila seseorang itu hadir dan berkhidmat dalam majlis Hadhrat Naqshbandiyah, dengan hati yang benar ikhlas, orang yang hadir itu akan dapat merasakan maqam Syuhud dan ‘Irfan yang hanya akan diperolehi setelah begitu lama menuruti jalan-jalan tariqat yang lain. Kerana itulah Para Akabirin Naqshbandiyah Rahimahumullah mengatakan bahawa,

“Tariqah kami pada ‘Ain hakikatnya merupakan Tariqah Para Sahabat”.

Dan dikatakan juga,

“Dar tariqah ma mahrumi nest wa har keh mahrum ast dar tariqah ma na khwahad aamad.”
Terjemahannya, “Dalam tariqat kami sesiapa pun tidak diharamkan dan barangsiapa yang telah diharamkan dalam tariqat kami pasti tidak akan dapat datang”, yakni barangsiapa yang menuruti tariqat kami, dia takkan diharamkan dari menurutinya dan barang siapa yang taqdir Allah semenjak azali lagi telah diharamkan dari menuruti jalan ini, mereka itu sekali-kali takkan dapat menurutinya.

Di dalam Tariqat Naqshbandiyah, Dawam Hudhur dan Agahi (sentiasa berjaga-jaga) menduduki maqam yang suci yang mana di sisi Para Sahabat Ridhwanullah ‘alaihim ajma’in dikenali sebagai Ihsan dan menurut istilah para Sufiyah ianya disebut Musyahadah, Syuhud, Yad Dasyat atau ‘Ainul Yaqin. Ianya merupakan hakikat “Bahawa engkau menyembah Allah seolah dikau melihat Nya”.

BAI ‘AH

K
etahuilah bahawa makna Bai ‘ah ialah berjanji dan taat setia kemudian berpegang teguh dan tetap melaksanakannya. Berbai ‘ah merupakan amalan para Sufi yang mulia Rahmatullah ‘alaihim dan ianya terus berjalan sehingga ke hari ini dan akan terus berjalan. Berbai ‘ah juga merupakan sunnah dan tariqah para Sahabat Ridhwanullah ‘alaihim ajma’in.

Terdapat 3 jenis Bai ‘ah. Jenis yang pertama ialah apabila seseorang itu bertaubat pada tangan seorang yang suci dan berbai ‘ah untuk meninggalkan perbuatan dosa, maka dosa-dosa besarnya juga akan turut terampun. Dia perlu mengulangi bai ‘ah kali yang kedua yakni bai ‘ah ini boleh berlaku berulang-ulang kali.

Jenis Bai ‘ah yang kedua ialah apabila seseorang itu berbai ‘ah untuk mendapatkan Nisbat Khandaniyah yakni nisbat dengan sesuatu golongan atau kelompok bagi mendapatkan perkhabaran baik yang menjadi kekhususan bagi golongan tersebut. Di samping itu dia mengharapkan Syafa’at yang tidak terbatas menerusi golongan tersebut. Misalannya, seseorang itu berbai ‘ah dengan Silsilah Qadiriyah supaya mendapatkan perkhabaran baik Hadhrat Ghauts Tsaqilain Syeikh Abdul Qadir Jailani Rahmatullah ‘alaih yang mana beliau telah berkata bahawa, “Para murid dalam silsilahku tidak akan meninggal dunia dalam keadaan tidak bertaubat.” Bai ‘ah seperti ini tidak berlu dilakukan berulang-ulang.

Jenis Bai ‘ah yang ketiga ialah apabila seseorang itu berniat untuk mengambil faedah dan istifadah dari sesuatu Khandan atau golongan. Jika seseorang itu telah berikhtiar dan berusaha untuk melaksanakan zikir dan wazifah Khandan tersebut secara ikhlas namun tidak berupaya melaksanakannya maka untuk dirinya, dengan kebenaran yang menjadi kebiasaan ialah hendaklah merujuk kepada mana-mana orang suci dari kelompok atau golongan yang lain dan berbai ‘ah dengan Murshid yang lain sama ada Murshidnya yang sebelum itu redha mahupun tidak. Akan tetapi tidak boleh sekali-kali menafikan kesucian dan kesalehan Murshidnya yang terdahulu sebaliknya hendaklah beranggapan bahawa mungkin tuahnya tiada di sana.

Jika seseorang Murid mendapati Murshidnya mengabaikan pengamalan Syari’at dan usul-usul Tariqat dan dirinya terikat dengan ahli-ahli duniawi dan mencintai dunia, maka hendaklah dirinya mencari Murshid yang lain bagi menghasilkan limpahan faidhz batin dan kecintaan serta ma’rifat.

Hadhrat Aqdas Maulana Muhammad Abdullah Rahmatullah ‘alaih suatu ketika telah ditanyakan orang tentang apakah maksud Bai ‘ah? Beliau lalu berkata,
“Cubalah engkau lihat bahawa dengan adanya pengetahuan hukum hukum Syariah dan urusan keagamaan pun orang tidak dapat berakhlak dan melakukan amalan soleh dengan baik, terdapat juga kebanyakan orang-orang Islam yang mengerjakan solat dan puasa tetapi masih tidak dapat menghindarkan diri dari kelakuan buruk seperti menipu dan berbohong serta mengumpat ghibat. Maksud utama Bai ‘ah ialah supaya menghindarkan kelakuan yang buruk dan menggantikannya dengan melahirkan akhlak yang tinggi dan mulia, mendatangkan kemudahan untuk melakukan amalan soleh dan dengan sendirinya akan meninggalkan perbuatan maksiat.”



MURSHID DAN MURID

Murshid pada pengertian lughah bererti seseorang yang menunjukkan jalan. Menurut istilah Tasawwuf dan Tariqat, Murshid adalah pembimbing jalan kerohanian. Murshid juga di sebut sebagai Syeikh di Tanah ‘Arab dan di rantau Nusantara. Namun di negara Asia Tengah seperti di Khurasan, Bukhara, Turki dan Tanah Hindi, Murshid juga disebut sebagai Pir.

Bagaimanakah yang dikatakan seorang Murshid itu? Menurut Hadhrat Shah Ghulam ‘Ali Dehlawi Rahmatullah ‘alaih, Murshid ialah seorang yang menuruti Sunnah Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam secara zahir dan batin. Seseorang Murshid juga adalah seorang yang meninggalkan perkara-perkara yang bida’ah dan sesat. Bida’ah adalah amalan yang bukan bersumberkan Al-Quran dan Sunnah. Setiap perkara yang bida’ah adalah sesat. Perkara yang sesat apabila diamalkan akan membawa seseorang itu ke neraka Jahannam, na’uzu billah!

Murshid hendaklah memiliki ‘aqidah yang benar dan sahih sepertimana ‘aqidah Salafus Solihin dan yang dipegang oleh sekelian Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Ilmu ‘Aqidah adalah berpandukan Al-Quran dan Al-Hadis sepertimana yang telah disusun oleh Imam Maturidi Rahmatullah ‘alaih dan Imam Abu Hassan Asy-Sya’ari Rahmatullah ‘alaih.

Dia juga perlu mengetahui Ilmu Feqah dan memahami masaalah feqah yang penting-penting. Ilmu Feqah hendaklah berdasarkan apa yang telah diijtihadkan oleh para Imam Mujtahidin dalam bidang Syari’at. Hasil Ijtihad mereka menimbulkan Mazhab. Terdapat empat Mazhab yang diiktiraf oleh sekelian Ulama Ahlus Sunnah wal Jama’ah iaitu Mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’I dan Hambali. Murshid hendaklah berpegang kepada salah satu dari Mazhab Syari’at tersebut dalam perlaksanaan hukum-hukum feqah.

Dia hendaklah sentiasa melakukan mutala’ah kitab-kitab Hadis dan kitab tafsir Al-Quran. Di samping itu dia juga hendaklah membaca kitab-kitab para Sufi yang mulia yang berkaitan dengan pembinaan akhlak dan tatakrama yang baik. Contohnya seperti kitab Minhajul ‘Abidin dan Kimia Sa’adat karangan Imam Al-Ghazali Rahmatullah ‘alaih. Dia juga hendaklah selalu membaca kitab-kitab tentang hal ehwal pengalaman kerohanian para Masyaikh dan kata-kata Malfuzat mereka.

Murshid hendaklah menghindarkan diri dari hubungan dan takluk yang kuat dengan orang-orang ahli dunia. Murshid hendaklah memanafaatkan masanya yang terluang dengan melakukan amalan-amalan kebaikan. Selalu berkhalwat dan mengasingkan diri dari kesibukan manusia, selalu mengharapkan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan menjadikan adat tidak bergantung kepada sesama makhluk.

Hendaklah selalu melakukan pembacaan tilawah Al-Quran jika Murshid bukan seorang Hafiz Al-Quran, dan tidak mampu menghafalnya. Bacalah sebahagian dari Al-Quran menurut kemampuannya. Dia hendaklah selalu memperbanyakkan zikir demi menghasilkan keberkatan dan faedah batiniyah kepada rohani.

Selalu bertaubat, zuhud, wara’, taqwa, sabar, syukur, qana’ah, tawakkal, taslim dan redha dengan ketentuan Allah s.w.t. serta menahan hawa nafsu. Ciri-ciri Murshid yang sebegini, apabila dipandang akan mengingatkan kita kepada Allah dan hatinya bersih dan suci dari keinginan dan kehendak yang salah dan tidak baik.

Menurut Hadhrat Shah Ghulam ‘Ali Rahmatullah ‘alaih lagi, jika seorang itu Murshid silsilah Tariqat Chistiyah, sohbet dan faidhz darinya akan menimbulkan Zauk dan Shauq serta kecintaan yang tak terhingga terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala dan berhasil menghindar dan mengasingkan diri dari golongan ahli dunia.

Jikalau Murshid itu dari silsilah Tariqat Qadiriyah, maka seseorang murid itu akan mencapai kebersihan hati dan mencapai takluk dengan Alam Arwah dan Malaikat. Kepada mereka terbuka sebahagian pengetahuan tentang perkara yang telah lepas dan akan datang.

Jikalau Murshid itu adalah dari silsilah Tariqat Naqshbandiyah, maka dengan bersohbet dengannya akan menghasilkan Kehadiran Zat yakni ingatan yang berterusan kepda Allah Subhanahu wa Ta’ala, menghasilkan Jam’iyat yakni ketenangan dan ketenteraman hati, menghasilkan Yad Dasyat yakni ingatan yang bersungguh-sungguh, kehilangan diri yakni hilang pergantungan pada makhluk dan diri sendiri, terhasilnya Jazbah dan semangat untuk menuju kepada Allah, terhasilnya warid-warid yang merupakan ilmu pengetahuan dan ilham yang baik dari Allah Subhanahu wa Ta’ala dan akan terhasil juga padanya Kasyaf.

Jikalau Murshid itu adalah dari silsilah Tariqat Mujaddidiyah, maka akan terhasillah kepadanya pengetahuan tentang Lataif Fauqaniyah yakni latifah-latifah yang berada di atas ‘Arash di Alam Amar dan menghasilkan nisbat batin tentang kaifiat bagaimana untuk melakukan penyucian hati latifah-latifah tersebut dan menampakkan padanya cahaya nur dan rahsia-rahsia yang terdapat di dalam Tariqat Mujaddidiyah ini.


























PRINSIP ASAS TARIQAT NAQSHBANDIYAH

T
ariqat Naqshabndiyah mempunyai prinsip dasarnya yang tersendiri yang telah diasaskan oleh Hadhrat Khwajah Khwajahgan Maulana Syeikh Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih. Beliau telah meletakkan 8 prinsip asas ini sebagai dasar Tariqat Naqshbandiyah. Prinsip-prinsip ini dinyatakannya dalam frasa bahasa Parsi dan mengandungi pengertian dan pangajaran yang amat tinggi nilainya. Adapun prinsip-prinsipnya adalah seperti berikut :

1. Yad Kard
2. Baz Gasht
3. Nigah Dasyat
4. Yad Dasyat
5. Hosh Dar Dam
6. Nazar Bar Qadam
7. Safar Dar Watan
8. Khalwat Dar Anjuman

Hadhrat Syeikh Muhammad Parsa Rahmatullah ‘alaih yang merupakan sahabat, khalifah dan penulis riwayat Hadhrat Maulana Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih telah menyatakan di dalam kitabnya bahawa ajaran tariqat Hadhrat Khwajah Maulana Syeikh Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih berkenaan zikir dan ajaran lapan prinsip asas seperti yang dinyatakan di atas turut dianuti dan diamalkan oleh 40 jenis tariqat yang lain sebagai panduan kepada jalan kebenaran yang mulia iaitu jalan kesedaran dalam menuruti Sunnah Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. dengan meninggalkan sebarang bentuk bida’ah dan bermujahadah melawan hawa nafsu. Kerana itulah Hadhrat Khwajah Maulana Syeikh Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih mencapai ketinggian rohani dan menjadi seorang Mahaguru Tariqat dan penghulu pemimpin kerohanian pada zamannya.


1. Yad Kard

“Yad” bererti ingat yakni zikir. Perkataan “Kard” pula bagi menyatakan kata kerja bagi ingat yakni pekerjaan mengingati Allah dan ianya merupakan zat bagi zikir.. Berkata para Masyaikh, Yad Kard bermaksud melakukan zikir mengingati Tuhan dengan menghadirkan hati. Murid yang telah melakukan bai’ah dan telah ditalqinkan dengan zikir hendaklah senantiasa sibuk mengingati Allah dengan kalimah zikir yang telah ditalqinkan. Zikir yang telah ditalqinkan oleh Syeikh adalah zikir yang akan membawa seseorang murid itu mencapai ketinggian darjat rohani.

Syeikh akan mentalqinkan zikir kepada muridnya sama ada zikir Ismu Zat ataupun zikir Nafi Itsbat secara Lisani ataupun Qalbi. Seseorang murid hendaklah melakukan zikir yang sebanyak-banyaknya dan sentiasa menyibukkan dirinya dengan berzikir. Pada setiap hari, masa dan keadaan, sama ada dalam keadaaan berdiri atau duduk atau berbaring ataupun berjalan, hendaklah sentiasa berzikir.

Pada lazimnya seseorang yang baru menjalani Tariqat Naqshbandiyah ini, Syeikh akan mentalqinkan kalimah Ismu Zat iaitu lafaz Allah sebagai zikir yang perlu dilakukan pada Latifah Qalb tanpa menggerakkan lidah. Murid hendaklah berzikir Allah pada latifah tersebut sebanyak 24 ribu kali sehari semalam setiap hari sehingga terhasilnya cahaya Warid.
Seterusnya murid hendaklah mengkhabarkan segala pengalaman ruhaniahnya kepada Syeikh apabila menerima warid tersebut. Begitulah pada setiap latifah, murid hendaklah berzikir sebanyak-banyaknya pada kesemua latifah seperti yang diarahkan oleh Syeikh sehingga tercapainya warid. Mengingati Allah secara sempurna adalah dengan berzikir menghadirkan hati ke Hadhrat ZatNya.

Setelah zikir Ismu Zat dilakukan pada setiap latifah dengan sempurna, Syeikh akan mentalqinkan pula zikir Nafi Itsbat iaitu kalimah LA ILAHA ILLALLAH yang perlu dilakukan sama ada secara Lisani iaitu menerusi lidah atau secara Qalbi iaitu berzikir menerusi lidah hati. Zikir Nafi Itsbat perlu dilakukan menurut kaifiatnya.

Syeikh akan menentukan dalam bentuk apa sesuatu zikir itu perlu dilakukan. Yang penting bagi Salik adalah menyibukkan diri dengan zikir yang telah ditalqinkan oleh Syeikh sama ianya zikir Ismu Zat ataupun Nafi Itsbat.

Salik hendaklah melakukan zikir Nafi Itsbat sehingga dia mencapai kejernihan hati dan tenggelam di dalam muraqabah. Murid hendaklah melakukan zikir Nafi Itsbat sebanyak 5 ribu ke 10 ribu kali setiap hari bagi menanggalkan segala kekaratan hati. Zikir tersebut akan membersihkan hati dan membawa seseorang itu kepada musyahadah.

Salik hendaklah memelihara zikir dengan hati dan lidah dengan menyebut Allah iaitu nama bagi Zat Tuhan yang merangkumi kesemua nama-namaNya dan sifat-sifatNya yang mulia serta dengan menyebut zikir Nafi Itsbat menerusi kalimah LA ILAHA ILLALLAH dengan sebanyak-banyaknya.

Zikir Nafi Itsbat menurut Akabirin Naqshbandiyah, seseorang murid yang baru itu hendaklah menutup kedua matanya, menutup mulutnya, merapatkan giginya, menongkatkan lidahnya ke langit-langit dan menahan nafasnya. Dia hendaklah mengucapkan zikir ini dengan hatinya bermula dari kalimah Nafi dan seterusnya kalimah Itsbat. Bagaimanapun, bagi murid yang telah lama hendaklah membukakan kedua matanya dan tidak perlu menahan nafasnya.

Bermula dari kalimah LA yang bererti Tiada, dia hendaklah menarik kalimah LA ini dari bawah pusatnya ke atas hingga ke otak. Apabila kalimah LA mencapai otak, ucapkan pula kalimah ILAHA di dalam hati yang bererti Tuhan. Kemudian hendaklah digerakkan dari otak ke bahu kanan sambil menyebut ILLA yang bererti Melainkan, lalu menghentakkan kalimah ALLAH ke arah Latifah Qalb. Sewaktu menghentakkan kalimah Allah ke arah Qalb, hendaklah merasakan bahawa kesan hentakan itu mengenai kesemua Lataif di dalam tubuh badan.

Zikir yang sebanyak-banyaknya akan membawa seseorang Salik itu mencapai kepada kehadiran Zat Allah dalam kewujudan secara zihni yakni di dalam fikiran. Salik hendaklah berzikir dalam setiap nafas yang keluar dan masuk. Yad Kard merupakan amalan di fikiran yang mana fikiran hendaklah sentiasa menggesa diri supaya sentiasa ingat kepada Allah dan melakukan zikir bagi mengingati ZatNya.

Pekerjaan berzikir mengingati Allah adalah suatu amalan yang tiada batas dan had. Ianya boleh dikerjakan pada sebarang tempat, masa dan keadaan. Hendaklah sentiasa memerhatikan nafas supaya setiap nafas yang keluar dan masuk itu disertai ingatan terhadap Zat Allah s.w.t.


2. Baz Gasht

Baz Gasht bererti kembali. Menurut para Masyaikh, maksudnya ialah seseorang yang melakukan zikir dengan menggunakan lidah hati menyebut Allah Allah dan La ilaha Illallah, begitulah juga setelah itu hendaklah mengucapkan di dalam hati dengan penuh khusyuk dan merendahkan diri perkataan ini,
“Ilahi anta maqsudi, wa ridhoka matlubi.”
Yang bererti,

“Wahai Tuhanku Engkaulah maksudku dan keredhaanMu tuntutanku.”

Ianya merupakan ucapan Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. ucapan ini akan meningkatkan tahap kesedaran kepada kewujudan dan kesaan Zat Tuhan, sehingga dia mencapai suatu tahap di mana segala kewujudan makhluk terhapus pada pandangan matanya. Apa yang dilihatnya walau kemana jua dia memandang, yang dilihatnya hanyalah Keesaan Zat Tuhan. Ucapan kata-kata ini juga memberikan kita pengertian bahawa hanya Allah yang menjadi maksud dan matlamat kita dan tidak ada tujuan lain selain untuk mendapatkan keredhaanNya.

Salik hendaklah mengucapkan kalimah ini bagi menghuraikan segala rahsia Keesaan Zat Tuhan dan supaya terbuka kepadanya keunikan hakikat Kehadiran Zat Allah. Sebagai murid, tidak boleh meninggalkan zikir kalimah ini meskipun tidak merasakan sebarang kesan pada hati. Dia hendaklah tetap meneruskan zikir kalimah tersebut sebagai menuruti Syeikhnya.

Makna Baz Gasht ialah kembali kepada Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Mulia dengan menunjukkan penyerahan yang sempurna, mentaati segala kehendakNya dan merendahkan diri dengan sempurna dalam memuji ZatNya. Adapun lafaz Baz Gasht dalam Bahasa Parsi seperti yang diamalkan oleh para Akabirin Naqshabandiyah Mujaddidiyah adalah seperti berikut :

“Khudawanda, maqsudi man Tui wa ridhai Tu, tarak kardam dunya wa akhirat barai Tu. Mahabbat wa ma’rifati Khud badih.”
Yang bererti,

“Tuhanku, maksudku adalah Engkau dan keredaanMu, ku lepaskan dunia dan akhirat kerana Engkau. Kurniakanlah cinta dan makrifat ZatMu.”

Pada permulaan, jika Salik sendiri tidak memahami hakikat kebenaran ucapan kata-kata ini, hendaklah dia tetap juga menyebutnya kerana menyebut kata-kata itu dengan hati yang khusyuk dan merendahkan diri akan menambahkan lagi pemahamannya dan secara sedikit demi sedikit Salik itu akan merasai hakikat kebenaran perkataan tersebut dan Insya Allah akan merasai kesannya.

Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. telah menyatakan dalam doa Baginda,

“Ma zakarnaka haqqa zikrika Ya Mazkur.”
Yang bererti,

“Kami tidak mengingatiMu dengan hak mengingatiMu secara yang sepatutnya, Wahai Zat yang sepatutnya diingati.”

Seseorang Salik itu tidak akan dapat hadir ke Hadhrat Allah menerusi zikirnya dan tidak akan dapat mencapai musyahadah terhadap rahsia rahsia dan sifat-sifat Allah menerusi zikirnya jika dia tidak berzikir dengan sokongan dari Allah s.w.t. dan menerusi ingatan Allah s.w.t. terhadap dirinya.

Hadhrat Maulana Syeikh Abu Yazid Bustami Rahmatullah ‘alaih telah berkata, “Apabila daku mencapai ZatNya, daku melihat bahawa ingatanNya terhadap diriku mendahului ingatanku terhadap diriNya.” Seorang Salik itu tidak akan dapat berzikir dengan kemampuan dirinya bahkan dia hendaklah sentiasa menyedari bahawa Allah s.w.t.lah yang sedang berzikir menerusi dirinya.


3. Nigah Dasyat

Nigah bererti mengawasi dan Dasyat pula bererti melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Maksudnya ialah seseorang Salik itu sewaktu melakukan zikir hendaklah sentiasa memelihara hati dari sebarang khatrah lintasan hati dan was-was Syaitan. Jangan biarkan khayalan kedukaan memberi kesan kepada hati. Setiap hari hendaklah melapangkan masa selama sejam ke dua jam ataupun lebih untuk memelihara hati dari segala ingatan selain Allah s.w.t. Selain diriNya, jangan ada sebarang khayalan dan lakukan latihan ini sehingga selain Allah segala-galanya menjadi lenyap.

Nigah Dasyat juga bermakna seseorang Salik itu mesti memerhatikan hatinya dan menjaganya dengan menghindarkan sebarang ingatan yang buruk masuk ke dalam hati. Ingatan dan keinginan yang buruk akan manjauhkan hati dari kehadiran Allah. Kesufian yang sebenar adalah daya untuk memelihara hati dari ingatan yang buruk dan memeliharanya dari sebarang keinginan yang rendah. Seseorang yang benar-benar mengenali hatinya akan dapat mengenali Tuhannya.

Di dalam tariqat Naqshbandiyah ini, seseorang Salik yang dapat memelihara hatinya dari sebarang ingatan yang buruk selama 15 minit adalah merupakan suatu pencapaian yang besar dan menjadikannya layak sebagai seorang ahli Sufi yang benar.

Hadhrat Maulana Shah Ghulam ‘Ali Dehlawi Rahmatullah ‘alaih menyatakan di dalam kitabnya Idhahut Tariqah bahawa, “Nigah Dasyat adalah merupakan syarat ketika berzikir, bahawa ketika berzikir hendaklah menghentikan segala khayalan serta was-was dan apabila sebarang khayalan yang selain Allah terlintas di dalam hati maka pada waktu itu juga hendaklah dia menjauhkannya supaya khayalan ghairullah tidak menduduki hati.”

Hadhrat Maulana Syeikh abul Hassan Kharqani Rahmatullah ‘alaih pernah berkata, “Telah berlalu 40 tahun di mana Allah sentiasa melihat hatiku dan telah melihat tiada sesiapapun kecuali DiriNya dan tiada ruang bilik di dalam hatiku untuk selain dari Allah.”

Hadhrat Syeikh Abu Bakar Al-Qittani pernah berkata, “ Aku menjadi penjaga di pintu hatiku selama 40 tahun dan aku tidak pernah membukanya kepada sesiapa pun kecuali Allah Subhanahu wa Ta’ala sehinggakan hatiku tidak mengenali sesiapapun kecuali Allah Subhanahu wa Ta’ala.”

Seorang Syeikh Sufi bernah berkata, “Oleh kerana aku telah menjaga hatiku selama sepuluh malam, hatiku telah menjagaku selama dua puluh tahun.”
4. Yad Dasyat

Yad Dasyat bererti mengingati Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan bersungguh-sungguh dengan Zauq Wijdani sehingga mencapai Dawam Hudhur yakni kehadiran Zat Allah secara kekal berterusan dan berada dalam keadaan berjaga-jaga memerhatikan limpahan Faidhz dari sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kesedaran ini diibaratkan sebagai Hudhur Bey Ghibat dan merupakan Nisbat Khassah Naqshbandiyah.

Yad Dasyat juga bermakna seseorang yang berzikir itu memelihara hatinya pada setiap penafian dan pengitsbatan di dalam setiap nafas tanpa meninggalkan Kehadiran Zat Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ianya menghendaki agar Salik memelihara hatinya di dalam Kehadiran Kesucian Zat Allah Subhanahu wa Ta’ala secara berterusan. Ini untuk membolehkannya agar dapat merasai kesedaran dan melihat Tajalli Cahaya Zat Yang Esa atau disebut sebagai Anwar uz-Zat il-Ahadiyah

Menurut Hadhrat Maulana Shah Ghulam ‘Ali Dehlawi Rahmatullah ‘alaih, Yad Dasyat merupakan istilah para sufi bagi menerangkan keadaan maqam Syuhud atau Musyahadah yang juga dikenali sebagai ‘Ainul Yaqin atau Dawam Hudhur dan Dawam Agahi. Di zaman para Sahabat Ridhwanullah ‘alaihim ajma’in ianya disebut sebagai Ihsan.

Ia merupakan suatu maksud di dalam Tariqah Naqshbandiyah Mujaddidiyah bagi menghasilkan Dawam Hudhur dan Dawam Agahi dengan Hadhrat Zat Ilahi Subhanahu wa Ta’ala dan di samping itu berpegang dengan ‘Aqidah yang sahih menurut Ahlus Sunnah wal Jama’ah dan melazimkan diri beramal menuruti Sunnah Nabawiyah Sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Jika Salik tidak memiliki ketiga-tiga sifat ini iaitu tetap mengingati Zat Ilahi, beri’tiqad dengan ‘aqidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah dan menuruti Sunnah Nabi s.a.w. ataupun meninggalkan salah satu darinya maka dia adalah terkeluar dari jalan tariqat Naqshbandiyah, na’uzu billahi minha!


5. Hosh Dar Dam

Hosh bererti sedar, Dar bererti dalam dan Dam bererti nafas, yakni sedar dalam nafas. Seseorang Salik itu hendaklah berada dalam kesedaran bahawa setiap nafasnya yang keluar masuk mestilah beserta kesedaran terhadap kehadiran Zat Allah Ta’ala. Jangan sampai hati menjadi lalai dan leka dari kesedaran terhadap kehadiran Zat Allah. Dalam setiap nafas hendaklah menyedari kehadiran ZatNya.

Menurut Hadhrat Khwajah Maulana Syeikh Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih bahawa, “Seseorang Salik yang benar hendaklah menjaga dan memelihara nafasnya dari kelalaian pada setiap kali masuk dan keluarnya nafas serta menetapkan hatinya sentiasa berada dalam Kehadiran Kesucian ZatNya dan dia hendaklah memperbaharukan nafasnya dengan ibadah dan khidmat serta membawa ibadah ini menuju kepada Tuhannya seluruh kehidupan, kerana setiap nafas yang disedut dan dihembus beserta KehadiranNya adalah hidup dan berhubung dengan Kehadiran ZatNya Yang Suci. Setiap nafas yang disedut dan dihembus dengan kelalaian adalah mati dan terputus hubungan dari Kehadiran ZatNya Yang Suci.”

Hadhrat Khwajah Maulana Syeikh ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘alaih berkata, “Maksud utama seseorang Salik di dalam Tariqah ini adalah untuk menjaga nafasnya dan seseorang yang tidak dapat menjaga nafasnya dengan baik makan dikatakan kepadanya bahawa dia telah kehilangan dirinya.”

Hadhrat Shah Naqshband Rahmatullah ‘alaih berkata, “ Tariqat ini dibina berasaskan nafas, maka adalah wajib bagi setiap orang untuk menjaga nafasnya pada waktu menghirup nafas dan menghembuskan nafas dan seterusnya menjaga nafasnya pada waktu di antara menghirup dan menghembuskan nafas.”

Hadhrat Syeikh Abul Janab Najmuddin Al-Kubra Rahmatullah ‘alaih berkta dalam kitabnya Fawatihul Jamal bahawa, “Zikir adalah sentiasa berjalan di dalam tubuh setiap satu ciptaan Allah sebagai memenuhi keperluan nafas mereka biarpun tanpa kehendak sebagai tanda ketaatan yang merupakan sebahagian dari penciptaan mereka. Menerusi pernafasan mereka, bunyi huruf ‘Ha’ dari nama Allah Yang Maha Suci berada dalam setiap nafas yang keluar masuk dan ianya merupakan tanda kewujudan Zat Yang Maha Ghaib sebagai menyatakan Keunikan dan Keesaan Zat Tuhan. Maka itu amatlah perlu berada dalam kesedaran dan hadir dalam setiapnafas sebagai langkah untuk mengenali Zat Yang Maha Pencipta.”

Nama Allah yang mewakili kesemua Sembilan Puluh Sembilan Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah dan Af’alNya adalah terdiri dari empat huruf iaitu Alif, Lam, Lam dan Ha. Para Sufi berkata bahawa Zat Ghaib Mutlak adalah Allah Yang Maha Suci lagi Maha Mulia KetinggianNya dan DiriNya dinyatakan menerusi huruf yang terakhir dari Kalimah Allah iaitu huruf Ha. Huruf tersebut apabila ditemukan dengan huruf Alif akan menghasilkan sebutan ‘Ha’ yang memberikan makna ‘Dia Yang Ghaib’ sebagai kata gantidiri.

Bunyi sebutan ‘Ha’ itu sebagai menampilkan dan menyatakan bukti kewujudan ZatNya yang Ghaib Mutlak. [ Ghaibul Huwiyyatil Mutlaqa Lillahi ‘Azza wa Jalla ]. Huruf Lam yang pertama adalah bermaksud Ta’rif atau pengenalan dan huruf Lam yang kedua pula adalah bermaksud Muballagah yakni pengkhususan.

Menjaga dan memelihara hati dari kelalaian akan membawa seseorang itu kepada kesempurnaan Kehadiran Zat, dan kesempurnaan Kehadiran Zat akan membawanya kepada kesempurnaan Musyahadah dan kesempurnaan Musyahadah akan membawanya kepada kesempurnaan Tajalli Sembilan Puluh Sembilan Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah.

Seterusnya Allah akan membawanya kepada penzahiran kesemua Sembilan Puluh Sembilan Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah dan Sifat-sifatNya yang lain kerana adalah dikatakan bahawa Sifat Allah itu adalah sebanyak nafas-nafas manusia.

Perlu diketahui bahawa menjaga nafas dari kelalaian adalah amat sukar bagi seseorang Salik, lantaran itu mereka hendaklah menjaganya dengan memohon Istighfar yakni keampunan kerana memohon istighfar akan menyucikan hatinya dan mensucikan nafasnya dan menyediakan dirinya untuk menyaksikan penzahiran manifestasi Allah Ta’ala di mana-mana jua.




6. Nazar Bar Qadam

Nazar bererti memandang, Bar bererti pada, dan Qadam pula bererti kaki. Seseorang Salik itu ketika berjalan hendaklah sentiasa memandang ke arah kakinya dan jangan melebihkan pandangannya ke tempat lain dan setiap kali ketika duduk hendaklah sentiasa memandang ke hadapan. Jangan menoleh ke kiri dan ke kanan kerana ianya akan menimbulkan fasad yang besar dalam dirinya dan akan menghalangnya dari mencapai maksud.

Nazar Bar Qadam bermakna ketika seseorang Salik itu sedang berjalan, dia hendaklah tetap memerhatikan langkah kakinya. Di mana jua dia hendak meletakkan kakinya, matanya juga perlu memandang ke arah tersebut. Tidak dibolehkan baginya melemparkan pandangannya ke sana sani, memandang kiri dan kanan ataupun di hadapannya kerana pandangan yang tidak baik akan menghijabkan hatinya.

Kebanyakan hijab-hijab di hati itu terjadi kerana bayangan gambaran yang dipindahkan dari pandangan penglihatan mata ke otak sewaktu menjalani kehidupan seharian. Ini akan mengganggu hati dan menimbulkan keinginan memenuhi berbagai kehendak hawa nafsu seperti yang telah tergambar di ruangan otak. Gambaran-gambaran ini merupakan hijab-hijab bagi hati dan ianya menyekat Cahaya Kehadiran Zat Allah Yang Maha Suci.

Kerana itulah para Masyaikh melarang murid mereka yang telah menyucikan hati mereka menerusi zikir yang berterusan dari memandang ke tempat yang selain dari kaki mereka. Hati mereka ibarat cermin yang menerima dan memantulkan setiap gambaran dengan mudah. Ini akan mengganggu mereka dan akan menyebabkan kekotoran hati. Maka itu, Salik diarahkan agar merendahkan pandangan supaya mereka tidak terkena panahan dari panahan Syaitan.

Merendahkan pandangan juga menjadi tanda kerendahan diri. Orang yang bongkak dan sombong tidak memandang ke arah kaki mereka ketika berjalan. Ia juga merupakan tanda bagi seseorang yang menuruti jejak langkah Hadhrat Baginda Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam yang mana Baginda s.a.w. ketika berjalan tidak menoleh ke kiri dan ke kanan tetapi Baginda hanya melihat ke arah kakinya, bergerak dengan pantas menuju ke arah destinasinya.

Pengertian batin yang dituntut dari prinsip ini ialah supaya Salik bergerak dengan laju dan pantas dalam melakukan perjalanan suluk, yang mana apa jua maqam yang terpandang olehnya maka dengan secepat yang mungkin kakinya juga segera sampai pada kedudukan maqam tersebut. Ia juga menjadi tanda ketinggian darjat seseorang yang mana dia tidak memandang kepada sesuatupun kecuali Tuhannya.

Sepertimana seseorang yang hendak lekas menuju kepada tujuannya, begitulah seorang Salik yang menuju Kehadhrat Tuhan hendaklah lekas-lekas bergerak, dengan cepat dan pantas, tidak menoleh ke kiri dan ke kanan, tidak memandang kepada hawa nafsu duniawi sebaliknya hanya memandang ke arah mencapai Kehadiran Zat Tuhan Yang Suci.

Hadhrat Maulana Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sarhindi Rahmatullah ‘alaih telah berkata dalam suratnya yang ke-259 di dalam Maktubat, “Pandangan mendahului langkah dan langkah menuruti pandangan. Mi’raj ke maqam yang tinggi di dahului dengan Basirah kemudian diikuti dengan langkah. Apabila langkah telah mencapai Mi’raj tempat yang dipandang, maka kemudian pandangan akan diangkat ke suatu maqam yang lain yang mana langkah perlu menurutinya.”
“Kemudian pandangan akan diangkat ke tempat yang lebih tinggi dan langkah akan menurutinya. Begitulah seterusnya sehingga pandangan mencapai maqam kesempurnaan yang mana langkahnya akan diberhentikan.”

“Kami katakana bahawa, apabila langkah menuruti pandangan, murid telah mencapai maqam kesediaan untuk menuruti jejak langkah Hadhrat Baginda Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Jejak langkah Hadhrat Baginda Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam adalah merupakan sumber asal bagi segala langkah.”

Hadhrat Shah Naqshband Rahmatullah ‘alaih berkata, “Jika kita memandang kesalahan sahabat-sahabat, kita akan ditinggalkan tanpa sahabat kerana tiada seorang juapun yang sempurna.”


7. Safar Dar Watan

Safar bererti menjelajah, berjalan atau bersiar, Dar bererti dalam dan Watan bererti kampung. Safar Dar Watan bermakna bersiar-siar dalam kampung dirinya yakni kembali berjalan menuju Tuhan.

Seseorang Salik itu hendaklah menjelajah dari dunia ciptaan kepada dunia Yang Maha Pencipta. Hadhrat Baginda Nabi s.a.w. pernah bersabda yang mafhumnya, “Daku sedang menuju Tuhanku dari suatu hal keadaan ke hal keadaan yang lebih baik dan dari suatu maqam ke suatu maqam yang lebih baik.”

Salik hendaklah berpindah dari kehendak hawa nafsu yang dilarang kepada kehendak untuk berada dalam KehadiranNya. Dia hendaklah meninggalkan segala sifat-sifat Basyariyah [kemanusiawian] yang tidak baik dan berusaha meningkatkan dirinya dengan sifat-sifat Malakutiyah [kemalaikatan] yang terdiri dari sepuluh maqam iaitu : [1] Taubat [2] Inabat [3] Sabar [4] Syukr [5] Qana’ah [6] Wara’ [7] Taqwa [8] Taslim [9] Tawakkal [10] Redha.

Para Masyaikh membahagikan perjalanan ini kepada dua kategori iaitu Perjalanan Luaran dan Perjalanan Dalaman. Perjalanan luaran adalah perjalanan dari suatu tempat ke suatu tempat mencari seorang pembimbing rohani yang sempurna bagi dirinya dan akan menunjukkan jalan ke tempat yang dimaksudkannya. Ini akan membolehkannya untuk memulakan perjalanan dalaman.

Seorang Salik apabila dia sudah menemui seorang pembimbing rohani yang sempurna bagi dirinya adalah di larang dari melakukan perjalanan luaran. Di dalam perjalanan luaran ini terdapat berbagai kesukaran yang mana seseorang yang baru menuruti jalan ini tidak dapat tidak pasti akan terjerumus ke dalam tindakan yang dilarang, kerana mereka adalah lemah dalam menunaikan ibadah mereka.

Perjalanan yang bersifat dalaman pula mengkehendakkan agar seseorang Salik itu meninggalkan segala tabiat yang buruk dan membawa adab tertib yang baik ke dalam dirinya serta mengeluarkan dari hatinya segala keinginan duniawi. Dia akan diangkat dari suatu maqam yang kotor zulmat ke suatu maqam kesucian.

Pada waktu itu dia tidak perlu lagi melakukan perjalanan dalaman. Hatinya telah dibersihkan dan menjadikannya tulin seperti air, jernih seperti kaca, bersih bagaikan cermin lalu menunjukkannya hakikat setiap segala suatu urusan yang penting dalam kehidupan sehariannya tanpa memerlukan sebarang tindakan yang bersifat luaran bagi pihak dirinya. Di dalam hatinya akan muncul segala apa yang diperlukan olehnya dalam kehidupan ini dan kehidupan mereka yang berada di sampingnya.

Hadhrat Maulana Shah Ghulam ‘Ali Dehlawi Rahmatullah ‘alaih telah berkata, “Ketahuilah bahawa apabila hati tertakluk dengan sesuatu selain Allah dan khayalan yang buruk menjadi semakin kuat maka limpahan Faidhz Ilahi menjadi sukar untuk dicapai oleh batin.”

“Jesteru itu dengan kalimah LA ILAHA hendaklah menafikan segala akhlak yang buruk itu sebagai contohnya bagi penyakit hasad, sewaktu mengucapkan LA ILAHA hendaklah menafikan hasad itu dan sewaktu mengucapkan ILLALLAH hendaklah mengikrarkan cinta dan kasih saying di dalam hati. Begitulah ketika melakukan zikir Nafi Itsbat dengan sebanyak-banyaknya lalu menghadap kepada allah dneganrasa hina dan rendah diri bagi menghapuskan segala keburukan diri sehinggala keburukan dirinya itu benar-benar terhapus.”

“Begitulah juga terhadap segala rintangan batin, ianya perlu disingkirkan supaya terhasilnya tasfiyah dan tazkiyah. Latihan ini merupakan salah satu dari maksud Safar Dar Watan.”


8. Khalwat Dar Anjuman

Khalwat bererti bersendirian dan Anjuman bererti khalayak ramai, maka pengertiannya ialah bersendirian dalam keramaian. Maksudnya pada zahir, Salik bergaul dengan manusia dan pada batinnya dia kekal bersama Allah Ta’ala. Terdapat dua jenis khalwat iaitu Khalwat Luaran dan Khalwat Dalaman.

Khalwat luaran menghendaki Salik agar mengasingkan dirinya di tempat yang sunyi dan jauh dari kesibukan manusia. Secara bersendirian Salik menumpukan kepada zikrullah dan muraqabah untuk mencapai penyaksian Kebesaran dan Keagungan Kerajaan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Apabila sudah mencapai fana menerusi zikir fikir dan semua deria luaran difanakan, pada waktu itu deria dalaman bebas meneroka ke Alam Kebesaran dan Keagungan Kerajaan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ini seterusnya akan membawa kepada khalwat dalaman.

Khalwat dalaman bermaksud berkhalwat dalam kesibukan manusia. Hati Salik hendaklah sentiasa hadir ke Hadhrat Tuhan dan hilang dari makhluk sedang jasmaninya sedang hadir bersama mereka. Dikatakan bahawa seseorang Salik yang Haq sentiasa sibuk dengan zikir khafi di dalam hatinya sehinggakan jika dia masuk ke dalam majlis keramaian manusia, dia tidak mendengar suara mereka. Keadaan berzikir itu mengatasi dirinya dan penzahiran Hadhrat Suci Tuhan sedang menariknya membuatkannya tidak menghiraukan segala sesuatu yang lain kecuali Tuhannya. Ini merupakan tingkat khalwat yang tertinggi dan dianggap sebagai khalwat yang sebenar seperti yang dinyatakan dalam ayat Al-Quran :

Rijalulla tulhihim tijaratun wala bay’un ‘an zikrillah

“Para lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan jual beli dari mengingati Allah.” [ 24 : 37 ]. Inilah merupakan jalan Tariqah Naqshbandiyah.

Hadhrat Khwajah Shah Bahauddin Naqshband Quddisa Sirruhu telah ditanyakan orang bahawa apakah yang menjadi asas bagi tariqatnya? Beliau menjawab, berdasarkan Khalwat Dar Anjuman, yakni zahir berada bersama Khalaq dan batin hidup bersama Haq serta menempuh kehidupan dengan menganggap bahawa Khalaq mempunyai hubungan dengan Tuhan. Sebagai Salik dia tidak boleh berhenti dari menuju kepada maksudnya yang hakiki.

Khalwat yang utama di sisi para Masyaikh Naqshbandiyah adalah khalwat dalaman kerana mereka sentiasa berada bersama Tuhan mereka dan pada masa yang sama mereka berada bersama dengan manusia. Sepertimana mafhum sabdaan Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w., “Padaku terdapat dua sisi. Satu sisiku menghadap ke arah Pencipta ku dan satu sisi lagi menghadap ke arah makhluk ciptaan.”

Hadhrat Shah Naqshband Rahmatullah ‘alaih berkata,

“Tariqatuna as-suhbah wal khayru fil jam’iyyat”

“Jalan tariqah kami adalah dengan cara bersahabat dan kebaikan itu dalam berjemaah.”

Adalah dikatakan bahawa seseorang beriman yang dapat bercampur gaul dengan manusia dan menanggung berbagai masaalah dalam kehidupan adalah lebih baik dari orang beriman yang menghindarkan dirinya dari manusia.

Imam Rabbani Rahmatullah ‘alaih telah berkata, “Perlulah diketahui bahawa Salik pada permulaan jalannya mungkin menggunakan khalwat luaran untuk mengasingkan dirinya dari manusia, beribadat dan bertawajjuh kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala sehingga dia mencapai tingkat darjat yang lebih tinggi. Pada waktu itu dia akan dinasihatkan oleh Syeikhnya seperti kata-kata Sayyid Al-Kharraz rahmatullah ‘alaih iaitu kesempurnaan bukanlah dalam mempamerkan karamah yang hebat-hebat tetapi kesempurnaan yang sebenar ialah untuk duduk bersama manusia, berjual beli, bernikah kahwin dan mendapatkan zuriat dan dalam pada itu sekali-kali tidak meninggalkan Kehadiran Allah walaupun seketika.”

Hadhrat Shah Ghulam ‘Ali Dehlawi Rahmatullah ‘alaih berkata, “Daripada masamu, jangan ada sebarang waktu pun yang engkau tidak berzikir dan bertawajjuh serta mengharapkan Kehadiran Allah Ta’ala dan bertemulah dengan manusia dan berzikirlah walaupun berada di dalam keramaian dan sentiasa berjaga-jaga memerhatikan limpahan Allah.”

Berkata Penyair,
Limpahan Faidhz Al-Haq datang tiba-tiba tetapi hatiku memerhatikan waridnya,
Biarpun di waktu sekali kerdipan mata namun diriku sekali-kali tidak leka,
Boleh jadi Dia sedang memerhatikanmu dan dikau tidak memperhatikannya.

Hal keadaan ini dinamakan Khalwat Dar Anjuman iaitu “Ka in haqiqat wa ba in surat” yakni hakikat dirinya berzama Zat Tuhan dan tubuh badan bersama makhluk ciptaan Tuhan. Masyaikh menggelarkannya sebagai ‘Sufi Kain Bain’
JALAN PENGHASILAN FAEDAH

M
enurut Para Masyaikh, cara untuk menghasilkan faedah yang sebesar-besarnya dengan limpahan Faidhz dan keberkatan yang sempurna atas jalan Naqshbandiyah ini, seseorang murid itu hendaklah sentiasa bersahabat dengan Syeikhnya dengan penuh adab tertib dan keikhlasan hati serta memenuhi segala syarat-syaratnya serta tetap memelihara zikir azkar seperti yang telah ditalqinkan oleh Syeikh kepada dirinya.

Dalam tariqat ini juga terdapat maqam-maqam yang amat tinggi kedudukan darjatnya dan padanya terdapat warid-warid yang juga tinggi kedudukannya dan merupakan bahagian suluk Para ‘Ulul ‘Azmi dan Para Muqarrabin. Mereka-mereka yang telah diberikan keahlian dan kemampuan untuk memasuki dan menempuhi jalan tersebut telah diberikan kemuliaan oleh Allah dan mereka itu akan terus maju menuju ke Hadhrat Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Jalan Naqshbandiyah ini seperti yang telah ditegaskan oleh Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani bahawa ianya merupakan jalan yang paling dekat, paling mendahului, paling menuruti, paling kukuh, paling selamat, paling berhikmah, paling benar, paling baik, paling tinggi, paling agung, paling atas kedudukannya, paling sempurna dan paling indah jalannya.

Dalam menuruti Tariqat Naqshbandiyah ini, Para Masyaikh mendahulukan Jazbah sebelum Suluk di mana seseorang murid yang benar-benar ikhlas berusaha menghasilkan tawajjuh yang sempurna dari Syeikhnya. Dengan berkat tawajjuh Syeikh, murid itu akan memperolehi jazbah yang mana keadaannya akan mula mengalami perubahan iaitu bertambahnya Zauq dan Shauq serta ruhnya akan merasai kelazatan dan ketenangan yang khas tatkala melakukan zikir dan ibadat.

Seseorang murid yang benar hendaklah mendalami ilmu agama terutamanya yang berkenaan dengan Syari’at Islam seperti yang telah dibawakan oleh Hadhrat Baginda Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam serta menghidupkan Sunnah Baginda s.a.w. di dalam kehidupan sehari-harian terutamanya di dalam amalan ibadat dan meningglkan segala bentuk Bid’ah yang sesat dalam pelaksanaan ibadat. Murid hendaklah sentiasa berpegang teguh dengan Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w.

Hendaklah melaksanakan Rukun Islam iaitu bersaksi kepada Allah dan Rasul dengan mengucapkan dua kalimah syahadah, mendirikan dan memelihara Solat lima waktu setiap hari, berpuasa pada bulan Ramadhan, berzakat dan menunaikan Haji apabila berkemampuan.

Hendaklah melaksanakan Rukun Iman iaitu beriman dengan penuh percaya dan yaqin dengan Allah, Para Malaikat Nya, Kitab-kitab Nya, Para Rasul Nya, Hari Akhirat, Taqdir yang baik dan buruk adalah dari Allah Ta’ala serta beriman dan yaqin dengan hari kebangkitan sesudah mati.

Seterusnya hendaklah melaksanakan Rukun Ihsan iaitu, “Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat Nya dan merasakan bahawa Allah sedang melihat engkau”. Ihsan di dalam Solat adalah martabat untuk dicapai oleh orang awam manakala Ihsan di dalam dan di luar Solat adalah maqam yang dicapai oleh Para Nabi dan Rasul dan menjadi perjuangan sekelian ahli sufi yang menempuh jalan Tariqat.


SEPULUH LATIFAH INSAN

K
etahuilah bahawa di sisi Hadhrat Imam Robbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi Rahmatullah ‘Alaih dan sekelian para pengikutnya telah tsabit bahawa pada setiap insan terhimpun sepuluh Latifah. Lataif adalah kata jamak bagi latifah yang bererti kehalusan dan lima dari latifah tersebut adalah dari Alam Amar manakala lima latifah lagi adalah dari Alam Khalaq. Alam Amar dan Alam Khalaq adalah berada dalam lingkungan Daerah Imkan. Untuk memahami Tariqat Naqshbandiyah ini, amat penting untuk kita memahami tentang sepuluh lataif insan.

Lima Lataif dari Alam Amar itu adalah:

1. Qalb
2. Ruh
3. Sir
4. Khafi
5. Akhfa

Lima Lataif dari Alam Khalaq itu adalah:

1. Nafs
2. Angin
3. Api
4. Air
5. Tanah

Sewaktu Allah Subhanahu wa Ta’ala menciptakan rupa bentuk jasmani bagi insan, dikurniakannya juga lima Lataif Alam Amar di beberapa kedudukan pada badan manusia dan mengurniakannya takluk keasyikan.

Adapun bagi Alam Amar, kedudukan Latifah Qalb itu terletak pada tetek kiri pada anggaran dua jari di bawah puting dan cenderung sedikit ke arah ketiak. Kedudukan Latifah Ruh adalah di bawah tetek kanan pada anggaran dua jari di bawah puting. Kedudukan Latifah Sir adalah pada tetek kiri pada anggaran dua jari ke arah dada. Kedudukan Latifah Khafi adalah pada tetek kanan pada anggaran dua jari ke arah dada dan kedudukan Latifah Akhfa adalah pada tengah-tengah dada. Allah mengurniakan takluk keasyikan pada Lataif ini di tubuh badan manusia.

Takluk Alam Amar ini akan mencapai peningkatan rohani setelah disucikan sehinggalah kita dapat mengenali diri kita dan asal usul kita yang merupakan cahaya Nur yang tersembunyi dalam tubuh jasmani yang gelap dan zulmat ini.

Adapun bagi Alam Khalaq, kedudukan Latifah Nafs itu adalah di antara kedua-dua kening yang mewakili otak dan akal manusia. Seterusnya Latifah bagi empat anasir iaitu Tanah, Air, Api dan Angin adalah pada seluruh tubuh jasmani manusia. Sepertimana Alam Amar, Alam Khalaq juga perlu disucikan kerana dengan penyuciannya akan membawa seseorang itu kepada peningkatan pengenalan diri dan asal-usul hakikat kejadian.

Penyucian kesemua Sepuluh Lataif Insan ini di lakukan dalam 7 Peringkat. Peringkat pertama penyucian Latifah Qalb, kedua penyucian Latifah Ruh, ketiga penyucian Latifah Sir, keempat penyucian Latifah Khafi, kelima penyucian Latifah Akhfa, keenam penyucian Latifah Nafs dan ketujuh adalah penyucian Latifah Qolibiah iaitu Empat Anasir merangkumi Angin, Api, Air dan Tanah.

Penyucian Latifah pertama hingga keenam adalah berzikir pada kedudukan masing-masing seperti yang telah dijelaskan manakala penyucian Latifah yang ketujuh iaitu Latifah Qolibiah dengan berzikir pada setiap zarah, jisim dan rambut pada seluruh tubuh badan kita yang merangkumi kesemua Sepuluh Lataif. Dalam gambar (Rajah 1) dapat diperhatikan kedudukan Latifah-latifah pada tubuh badan manusia sebagai maqam berzikir.


1. Qalb
2. Ruh
3. Sir
4. Khafi
6. Nafs
5. Akhfa
7. Tanah (10)
7. Air (9)
7. Angin (7)
7. Api (8)





























Rajah 1




DAERAH IMKAN

S
eluruh Alam Maya Semesta Raya ini berada dalam Daerah Imkan. Daerah Imkan atau Daerah Mumkinat adalah daerah keluasan Alam Kabir dan iannya terbahagi kepada dua bahagian, atas dan bawah yang meliputi Alam Amar dan Alam Khalaq. Separuh bahagian bawahnya adalah bermula dari ‘Arash sehinggalah ke bawah tanah dan separuh bahagian atasnya adalah bermula dari atas ‘Arash sehinggalah seatas-atasnya.

Alam Amar adalah pada separuh bahagian atas Daerah Imkan manakala Alam Khalaq pula adalah pada separuh bahagian bawah Daerah Imkan (Rajah 2). Pada tubuh setiap insan terdapat hubung kaitan dengan Daerah Imkan yang terdiri dari Alam Amar dan Alam Khalaq iaitu pada tubuh Rohani dan Jasmani.

Alam semesta jika dilihat menerusi pandangan batin mata hati, tampil dalam bentul suatu bulatan. Bulatan ini dinamakan sebagai Daerah Imkan atau Daerah Mumkinat atau daerah yang mungkin dan daerah ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Alam Amar dan Alam Khalaq. Di tengah-tengah bulatan itu terdapat satu garis melintang yang membahagikan bulatan itu kepada satu bahagian berada di atas dan satu bahagian lagi berada di bawah. Garisan di tengah itu merupakan ‘Arash Mu’alla yang merupakan pembahagi kepada Alam Amar dan Alam Khalaq.


‘ARASH
ALAM AMAR
ALAM KHALAQ
Ruh
Khafi
Qalb
Sir
Akhfa
Nafs
Angin
Air
Tanah
Api
















Rajah 2

Menurut Hadhrat Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sarhindi Rahmatullah ‘alaih manusia adalah alam kecil. Apabila Allah menjadikan manusia, Dia menggunakan kuasaNya untuk menempatkan latifah-latifah Alam Amar ini ke dalam dada manusia dan menjadikannya asyik dengan takluk tubuh badan. Ini adalah kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala ingin menjadikan manusia itu sempurna dan dilengkapkanNya dengan Alam Amar dan Alam Khalaq. Dengan cara ini manusia itu disebutkan sebagai Alam Saghir.

Manusia merupakan biasan dalam bentuk kecil bagi kejadian Alam Maya Semesta Raya [Kosmos] ini atau disebutkan sebagai Alam Kabir [Makrokosmos] yang bermakna alam besar. Sebagai biasan, manusia adalah Alam Saghir [Mikrokosmos] yang bermakna alam kecil. Segala apa yang wujud di alam yang kecil juga adalah wujud di alam yang besar. Namun demikian, setiap apa yang ada di alam besar tidak kesemuanya berada di alam kecil.

Menerusi alam kecil, dapat dilihat apa yang ada di alam besar sana. Walaubagaimanapun, tidak semua manusia yang dapat melihat alam besar menerusi alam kecil dirinya. Di dalam diri manusia itu mengandungi suatu daya tenaga yang jika ianya dibuka maka akan membolehkannya melihat Alam Maya Semesta Raya kerana dia merupakan Alam Saghir dan menjadi cermin kepada Alam Kabir di dalam dirinya.

Pada dasarnya, Alam Kabir ini adalah terlalu besar dan luas sehingga tiada siapa pun yang dapat menyatakan betapa keluasannya. Para Masyaikh mentafsirkannya sebagai Daerah Imkan yang bererti daerah keluasan yang mungkin baginya. Daerah Imkan Alam Kabir ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Alam Amar dan Alam Khalaq.

Perbandingan antara kedua-dua Alam Kabir dan Alam Saghir dapat dilihat dalam Rajah 3, yang mana di Alam Kabir, ‘Arasy Mu’alla menjadi sebagai pengantara manakala di Alam Saghir pula, Hati menjadi sebagai pengatara. Kerana itulah kepercayaan umum wujud bahawa “Allah Ta’ala itu berada dalam hati orang-orang yang benar-benar beriman.”

Menurut para Masyaikh Naqshbandiyah Haqqaniyah, hati manusia adalah merupakan biasan kepada Hati Rohaniah Hakikat Kenabian. Hati rohaniah ini mempamerkan Lautan Kekuasaan atau disebutkan sebagai Bahrul Qudrah, yang merupakan tempat asal usul segala ciptaan.

Lautan Kekuasaan Bahrul Qudrah ini berada di Alam Kabir dalam Alam Maya Semesta Raya. Daerah Imkan. Barangsiapa yang mampu mencapai pengetahuan tentang hati akan berkemampuan untuk memahami kebenaran Hakikat Kenabian Nur Muhammad s.a.w. Nur Muhammad s.a.w berada di dalam Lautan Kekuasaan Bahrul Qudrah ini.

Hati yang banyak berzikir akan menghasilkan limpahan faidhz dan ianya akan turut mengalir di dalam saluran darah di dalam tubuh badan dan mengisikan tubuh badan dengan limpahan faidhz tersebut. Menurut Hadhrat Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sarhindi Rahmatullah ‘alaih, apabila kelima-lima lataif Alam Amar telah disucikan dengan sempurna, lataif Alam Khalaq juga dengan sendirinya akan disucikan, kemudian dia akan memahami hakikat Daerah Imkan.

Untuk mencapai maqam ini, seseorang itu perlulah mancapai Fana Fi Syeikh. Ini akan mengangkat hijabnya terhadap kefahaman tentang Daerah Imkan. Kebanyakan Salik berhenti pada tahap ini dengan memikirkan bahawa mereka telah pun sampai ke destinasi tujuan mereka sedangkan mereka sepatutnya terus bergerak melewati bulatan Daerah Imkan dengan meneroka Alam Amar. Untuk ini seseorang Salik itu perlu mencapai Fana Fi Rasul. Kemudian barulah dirinya akan dapat merasakan pencapaian Fana Fillah.

Untuk memahami Alam Kabir, Alam Saghir, Daerah Imkan dan Bahrul Qudrah, perhatikan kepada Rajah 3 yang berikut.



Alam Maya Semesta Raya [ Kosmos ]

Alam Kabir [ Alam Besar – Makrokosmos ]

Alam Amar [ Alam Kekal ]

Qalb - Alam Malakut [ Malaikat ]
Ruh - Alam Jabarut [ Roh ]
Sir - Alam Lahut [ Bayangan Sifat-Sifat Allah ]
Khafi - Alam Bahut [ Sifat-Sifat Allah ]
Akhfa - Alam Hahut [ Zat Allah ]

‘Arasy Mu’alla

Alam Khalaq [ Alam Tidak Kekal ]

Nafs
Angin
Api
Air
Tanah

Alam Saghir [ Alam Kecil – Mikrokosmos ]

Rohani

Siddiqin
Kewalian
Kenabian
Ulul Azmi
Ahmad
Hati

Jasmani

Merasa
Menghidu
Menyentuh
Melihat
Mendengar



Alam Maya Semesta Raya [ Kosmos ]


Rajah 3
ALAM AMAR

A
lam Amar adalah suatu alam kekal yang mana hanya dengan perintah ‘Kun’ yang bermakna ‘Jadilah’ maka ianya akan terjadi. Ini merujuk kepada saat penciptaan langit dan bumi yang mana Allah Ta’ala menciptakannya dengan perintah ‘Kun’ ini. Alam Amar ini berada di luar batas masa dan ruang tempat. Alam Amar berada di dalam Daerah Imkan pada kedudukan di atas ‘Arash. Alam Amar mengandungi Qalb, Ruh, Sir, Khafi dan Akhfa.

Alam Amar adalah alam di mana tersembunyinya segala rahsia hakikat ketuhanan. Di sana tersembunyinya segala bayangan kebenaran yang berkaitan dengan Zat dan Sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala. Secara ringkasnya Alam Amar adalah merujuk kepada tubuh Rohani manusia. Kedudukannya pada badan manusia adalah di bahagian dada seperti yang dijelaskan dalam Lima Lataif Alam Amar.

Menurut Imam Razi Rahmatullah ‘alaih, Ruh manusia berasal dari Alam Amar manakala jasad manusia adalah berasal dari Alam Khalaq. Menurut Imam Ghazali Rahmatullah ‘alaih, kewujudan Alam Amar adalah di luar batas pencapaian, menerusi pengalaman dan khayalan. Ianya tidak mempunyai sempadan dan tidak dapat disukat dengan masa dan ruang.

Menurut Hadhrat Imam Rabbani Rahmatullah ‘alaih, terdapat lima alam di dalam Alam Amar yang merupakan asal usul kesemua lataif. Latifah Qalb berasal dari Alam Malakut, latifah Ruh berasal dari Alam Arwah atau Jabarut, latifah Sir berasal dari Alam Lahut, latifah Khafi berasal dari Alam Bahut dan latifah Akhfa berasal dari Alam Hahut.

Alam Malakut adalah Alam Para Malaikat dan berada dalam wilayah Hadhrat Nabi Adam ‘Alaihissalam dan cahaya nurnya adalah kuning. Alam Arwah atau Jabarut adalah Alam Para Roh dan berada dalam wilayah Hadhrat Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam dan cahaya nurnya adalah merah. Alam Lahut adalah Alam Bayangan Sifat-Sifat Allah dan berada dalam wilayah Hadhrat Nabi Musa ‘Alaihissalam dan cahaya nurnya putih berkilau. Alam Bahut adalah Alam Sifat-Sifat Allah dan merupakan alam yang tersembunyi dan berada dalam wilayah Hadhrat Nabi Isa ‘Alaihissalam dan cahaya nurnya adalah hitam. Alam Hahut pula adalah Alam Hadhrat Zat Yang Suci dan merupakan alam yang lebih tersembunyi. Cahaya nurnya adalah hijau dan alam ini berada dalam wilayah Hadhrat Baginda Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Latifah Qalb
Latifah Ruh
Latifah Sir
Latifah Khafi
Latifah Akhfa
Alam Malakut
Alam Jabarut
Alam Lahut
Alam Bahut
Alam Hahut
Adam
Ibrahim
Musa
Isa
Muhammad
Siddiqin
Kewalian
Kenabian
Ulul ‘Azmi
Ahmad
Syeikh
Mahdi
Abu Bakar
Muhammad
Allah
Ya Sayyid
Ya Sahib
Ya Siddiq
Ya Sayyid
Ya Allah
Kashf Qulub
Kashf Qubur
Jazbah Sukr
Hairat Sughra
Haqqul Yaqin
Kuning
Merah
Putih
Hitam
Hijau
Syari’at
Tariqat
Haqiqat
Ma’rifat
Khalwat
Mendengar
Melihat
Menyentuh
Menghidu
Merasa
Khinsar
Binsar
Wasat
Sababah
Ibham
Jari Anak
Jari Manis
Jari Tengah
Jari Telunjuk
Ibu Jari
ALAM KHALAQ

A
lam Khalaq adalah alam tidak kekal yang mana kejadiannya berlaku secara berperingkat-peringkat. Ia dicipta dalam enam tempoh masa dan berada dalam batas masa dan ruang tempat. Ia juga mengandungi siang dan malam, kelahiran dan kematian. Alam Khalaq berada di dalam Daerah Imkan pada kedudukan di bawah ‘Arash.

Alam Khalaq mengandungi Nafs dan Empat Anasir iaitu Angin, Api, Air dan Tanah. Secara ringkasnya Alam Khalaq adalah merujuk kepada tubuh Jasmani manusia. Kedudukannya pada badan manusia adalah pada seluruh jasad. Tubuh badan jasmani manusia mengandungi keempat-empat unsur ini ditemukan dengan Nafs bagi membentuk Alam Khalaq.

Hadhrat Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sarhindi Rahmatullah ‘alaih telah menyatakan di dalam kitabnya Ma’arif Laduniyyah pada Makrifat 26 berkenaan Fana dan Latifah sebagai berikut :

“Fana bererti melupakan semua perkara kecuali Allah Ta’ala. Setiap satu dari kelima-lima Latifah dalam Alam Amar terkandung bayangan gambaran dan takluk keasyikan di dalam tubuh badan manusia. Kelima-lima Latifah itu telah diberikan nama sebagai Qalb, Ruh, Sir, Khafi dan Akhfa. Kebanyakan Aulia Allah tidak dapat membezakannya di antara satu dengan yang lain lalu menggelarkan kesemuanya sebagai Ruh. Apabila dimaksudkan Ruh, maka kelima-lima perkara ini juga turut difahami. Ruh iaitu suatu Latifah sudah pun mengenali Allah Ta’ala sebelum ia di gabungkan dengan tubuh badan jasmani. Ia memiliki sedikit keinginan, pengetahuan dan cinta terhadap Allah Ta’ala. Ia telah diberikan tenaga dan kemampuan untuk mencapai ketinggian dan terpuji. Akan tetapi ia tidak akan dapat mencapai kecemerlangan selagi ia tidak bergabung dengan tubuh badan jasmani. Untuk maju dan cemerlang, ia perlu disatukan dengan tubuh badan. Untuk maksud ini, pada mulanya Ruh telah diberikan takluk keasyikan terhadap tubuh badan.”

“Kemudian, ia telah diberikan kebenaran untuk menuju ke tubuh badan lalu ia tercampak ke tubuh badan. Dengan keadaannya yang halus dan suci, ia tenggelam ke dalam tubuh badan manusia. Ia menjadi tidak dikenali, tidak dikenali oleh tubuh badan. Ia lupa tentang dirinya. Ia terus menyangka dirinya adalah tubuh badan. Ia kehilangan dirinya di dalam tubuh badan. Kerana itulah kebanyakan manusia menyangka diri mereka sebagai hanya tubuh badan. Tidak menyedari tentang kewujudan Ruh, mereka menafikannya. Allah Ta’ala dengan sifatNya Yang Maha Mengasihani telah menghantar pesanan kepada manusia iaitu Ruh, menerusi Para Nabi dan Rasul ‘Alaihimussolatu wassalam. Dia mengajak mereka kepada DiriNya. Dia melarang mereka dari bergantung kepada tubuh badan yang gelap ini.”

“Seseorang yang yang telah ditetapkan untuk memperolehi kebaikan yang kekal akan mentaati perintah-perintah Allah dan meninggalkan pergantungannya terhadap tubuh badan. Dia mengucapkan kesejahteraan kepadanya dan ia akan terus kembali ke atas pada tahap ketinggiannya yang sebenar. Cintanya terhadap asal-usulnya yang pernah dirasakannya sebelum bergabung dengan tubuh badan meningkat secara peringkat demi peringkat. Cintanya terhadap benda yang bersifat sementara makin berkurangan. Apabila dia melupakan keseluruhan tentang tubuh badan jasmaninya yang gelap, yang mana tiada lagi rasa asyik dan cinta yang tinggal, maka dia sudah mencapai fana tubuh badan. Seterusnya, dia perlu melepasi satu daripada dua langkah asas pada jalan Tasawwuf iaitu Fana dan Baqa. Kemudian jika Allah menghendaki dan merahmatinya, dia akan mencapai peningkatan rohaniah lalu terus melupakan tentang dirinya. Apabila ketidak sedaran ini meningkat, dia akan langsung melupakan terus tentang dirinya. Dia tidak akan lagi mengenali sesuatu apapun selain dari Allah Ta’ala. Seterusnya dia akan mencapai Fana Ruh yang mana seterusnya dia perlu bergerak meneruskan langkahnya yang kedua.”

“Ruh datang ke dunia ini dengan keinginan untuk mencapai Fana yang kedua ini. Ianya tidak akan dapat dicapai tanpa datang ke dunia ini. Jika Latifah Qalb melepasi kedua-dua langkah ini bersama-sama Ruh, ia akan mencapai Fananya sendiri bersama-sama dengan Ruh. Jika Nafs menyertai Qalb dengan cara ini, ia juga akan disucikan, iaitu ia juga akan mancapai Fananya. Tetapi apabila Nafs telah mencapai tahap Qalb, jika ia tetap berada di situ tanpa berusaha mencapai peningkatan dan melepasi kedua-dua langkah ini, ia tidak akan dapat mencapai tahap ketidaksedaran. Ia tidak akan menjadi Mutmainnah atau jiwa yang tenang.”

“Seseorang yang telah mencapai Fana Ruh mungkin tidak mencapai Fana Qalb. Ruh ibarat bapa kepada Qalb dan Nafs pula ibarat ibu kepada Qalb. Jika Qalb mempunyai keinginan terhadap Ruh sebagai bapanya dan memalingkan dirinya dari Nafs sebagai ibunya dan jika keinginan ini bertambah kuat dan menarik Qalb ke arah bapanya, maka ia akan mencapai darjatnya. Ianya adalah dengan melepasi kedua-dua langkah ini. Apabila Qalb dan Ruh mencapai Fana, Nafs tidak semestinya turut mencapai Fana. Jika Nafs mempunyai keasyikan dan keinginan terhadap anaknya, dan jika keinginan ini semakin bertambah dan membuatkannya semakin dekat dengan anaknya yang telah mencapai darjat bapanya, maka ibunya juga akan menjadi seperti mereka.”

“Keadaan yang sama juga berlaku untuk mencapai Fana pada Latifah Sir, Khafi dan Akhfa. Segala ingatan dan fikiran yang telah dipadamkan dan dilenyapkan dari Qalb hatinya menunjukkan kebenaran bahawa Ia telah melupakan segala perkara yang lain selain Allah Ta’ala. Tidak ada daya upaya untuk mengingat sesuatu apa pun bermakna bahawa pengetahuan dan segala sesuatu telah lenyap. Di dalam Fana, ilmu pengetahuan juga perlu dilenyapkan.”

Apabila Allah Ta’ala mengkehendaki seseorang hamba itu termasuk ke dalam urusanNya, maka Dia akan menyampaikan hamba itu untuk berkhidmat kepada salah seorang dari RakanNya, kemudian RakanNya itu akan menilai hal keadaanya dan memberikan arahan untuknya melakukan latihan Kerohanian dan Mujahadah dan menyucikan batinnya dan menerusi memperbanyakkan Zikir dan Fikir, latifah-latifahnya yang tersembunyi itu akan kembali bertawajjuh kepada asal usulnya.

Pada zaman ini, disebabkan kebanyakan penuntut menghadapi lemah semangat dan Himmat, kerana itulah Para Masyaikh Naqshbandiyah Rahimahumullah semenjak awal lagi mengarahkan murid mengamalkan jalan zikir dan sebagai menggantikan amalan dan latihan yang sukar serta Mujahadah dan Ibadah yang berat, mengarahkan amalan yang sederhana dan sentiasa memerhatikan waktu untuk melaksanakan ibadah dan melakukankan Tawajjuh kepada murid.

Para Masyaikh Naqshbandiyah telah mengarahkan sekelian murid mereka menuruti Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. dan menjauhi segala bentuk Bid’ah serta mengarahkan para murid mereka untuk melakukan Zikir Khafi iaitu zikir yang tersembunyi.

Untuk menghasilkan nikmat zikir yang berterusan Para Masyaikh Naqshbandiyah telah menetapkan tiga jalan Zikir Khafi iaitu [1] Zikir Ismu Zat dan Nafi Itsbat, [2] Muraqabah dan [3] Rabitah Syeikh.
FADHILAT ZIKRULLAH

S
esungguhnya Zikrullah adalah mengingati Zat Allah dan ia adalah suatu amalan ibadah yang sangat besar darjatnya dan amat tinggi nilainya di sisi Allah. Zikir merupakan intipati bagi segala amalan ibadah. Ia adalah suatu bentuk amalan ibadah yang boleh dikerjakan tanpa batas dan had. Solat yang tidak disertai dengan zikirullah adalah solat yang lalai, Begitulah juga dalam setiap amalan ibadah fardhu yang lain seperti puasa, zakat dan haji, sekiranya tidak disertai zikrullah ianya akan menjadi amalan ibadah yang lalai dan kurang nilai pahalanya.

Di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menyatakan dengan jelas dalil bagi amalan zikir. Amalan zikir mempunyai kelebihan yang banyak seperti yang telah dinyatakan oleh Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam di dalam Hadis. Jika hamba hendak menyatakan kesemua ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabawiyah, adalah terlalu banyak dan diluar batas kemampuan hamba untuk melakukannya.

Namun sebahagian darinya dapatlah hamba nyatakan sebagai dalil dan hujah untuk menguatkan keyakinan kita dengan amalan zikrullah. Andaikata tiada dalil sekalipun, sesungguhnya mengingati zat Tuhan yang menguasai seluruh alam dan diri kita adalah suatu amalan mulia yang tidak dapat sesiapa pun menafikannya.

Adapun antara kandungan ayat-ayat Al-Quran berkenaan zikir :

Fazkuruni azkurkum wasykuruli wala takfurun.

Kerana itu ingatlah kamu kepadaKu nescaya Aku ingat kepadamu dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu mengingkariKu. [ Al-Baqarah : 152 ]

2. Wazkur rabbaka katsiranw wasabbih bil ‘asyiyyi wal ibkar.

Dan berzikirlah mengingati Tuhanmu sebanyak-banyaknya serta bertasbihlah di waktu petang dan pagi hari. [ Ali Imran : 41 ]

3. Allazina yazkurunallaha qiyamanw waqu’udanw wa ‘ala junubihim wayatafakkaruna fi khalqis samawati wal ardh, robbana ma khalaqta haza batila, subhanaka faqina ‘azabannar.

(Ulul Albab) iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi, seraya berkata Wahai Tuhan kami, tidak Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa api neraka. [ Ali Imran : 191 ]

4. Fa iza qadhoitumus solata fazkurullaha qiyamanw wa qu’udanw wa ‘ala junubikum.

Maka apabila kamu telah selesai mengerjakan solat maka hendaklah kamu berzikir mengingati Allah di waktu berdiri dan duduk dan di waktu kamu berbaring. [ An-Nisaa : 103 ]

5. Wazkur rabbaka fi nafsika tadharru’anw wa khifatanw wa dunal jahri minal qauli bilghuduwwi wal asoli wala takum minal ghafilin.

Dan berzikirlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut serta dengan tidak mengeraskan suara di waktu pagi dan petang dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai. [ Al-A’raf : 205 ]

6. Innamal mukminunal lazina iza zukirallahu wajilat qulubuhum, wa iza tuliyat ‘alaihim ayatuhu zadathum imananw wa ‘ala robbihim yatawakkalun.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah mereka yang apabila disebut Allah gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal. [ Al-Anfal : 2 ]

7. Wa yahdi ilaihi man anab. Allazina amanu wa tatma innu qulubuhum bizikrillah, ala bizikrillahi tatma innul qulub.

Dan Dia memimpin kepadaNya orang yang bertaubat iaitu orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenang tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang tenteram. [ Ar-Ra’d : 27 – 28 ]

8. Rijalun la tulhihim tijaratunw wala bai’un ‘an zikrillah.

Laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak pula oleh jual beli dari mengingati Allah. [ An-Nur : 37 ]

9. Walazikrullahi akbar.

Dan sesungguhnya berzikir mengingati Allah adalah paling besar. [ Al-‘Ankabut : 45 ]

10. Laqod kana lakum fi rasulillahi uswatun hasanatun liman kana yarjullaha walyaumil akhiri wazakarallaha katsira.

Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah s.a.w. tauladan yang baik bagi kamu iaitu bagi orang-orang yang mengharapkan Rahmat Allah dan keselamatan di hari Akhirat dan berzikir kepada Allah sebanyak-banyaknya. [ Al-Ahzab : 21 ]

11. Wazzakirinallaha wazzakirati a’addallahu lahum maghfiratanw wa ajran ‘azima.

Dan laki-laki yang berzikir kepada Allah sebanyak-banyaknya dan perempuan yang berzikir, Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar. [Al-Ahzab : 35 ]

12. Ya ayyuhallazina amanu uzkurullaha zikran katsira. Wa sabbihu hu bukratanw wa asila.

Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah kepada Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya di waktu pagi dan petang. [Al-Ahzab : 41 – 42 ]

13. Allahu nazzala ahsanal haditsi kitabam mutasyabiham matsaniya taqsya’irru minhu juludullazina yakhsyauna rabbahum, tsumma talinu juluduhum wa qulubuhum ila zikrillah, zalika hudallahi yahdi bihi man yasyaa.

Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (Al-Quran) yang serupa mutu ayatNya lagi berulang-ulang, gementar kerananya badan orang-orang yang takut kepad Tuhannya, kemudian menjadi tenang badan dan hati mereka di waktu mengingati Allah. Itulah petunjuk Allah, Dia memimpin siapa yang dikehendakiNya. [Az-Zumar : 23 ]

14. Waman ya’syu ‘an zikrir rahmani nuqayyidh lahu syaitanan fahuwa lahu qarin.

Barangsiapa yang berpaling dari mengingati Tuhan Yang Maha Pemurah, kami adakan baginya Syaitan, maka dialah teman yang selalu menyertainya. [ Az-Zukhruf : 36 ]

15. Alam yakni lillazina amanu an takhsya’a qulubuhum lizikrillah.

Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman supaya tunduk hati mereka untuk berzikir kepada Allah. [ Al-Hadid : 16 ]

16. Fa iza qudhiyatis solatu fantasyiru fil ardh wabtaghu min fadhlillahi wazkurullaha katsiran la’allakum tuflihun.

Apabila telah ditunaikan Solat (Juma’at) maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia Allah dan berzikirlah kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya supaya kamu beruntung. [ Jumu’ah : 10 ]

17. Ya ayyuhallazina amanu la tulhikum amwalukum wala awladukum ‘an zikrillah, waman yaf’al zalika fa ula ika humul khasirun.

Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati Allah, barangsiapa yang berbuat demikian sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang rugi. [ Al-Munafiqun : 9 ]

18. Wazkurisma rabbika wa tabattal ilaihi tabtila.

Dan sebutlah nama Tuhanmu dan beribadatlah kepadaNya dengan penuh ketekunan.
[Al-Muzammil : 8 ]

19. Wazkurisma rabbika bukratanw wa asila.

Dan sebutlah nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang. [ Al-Insan : 25 ]

20. Qod aflaha man tazakka. Wa zakarasma rabbihi fasolla.

Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dari perangai yang keji). Dan dia berzikir nama Tuhannya, lalu mendirikan Solat. [Al-A’la : 14 – 15 ]


A
dapun hadis-hadis Nabawiyah berkenaan zikrullah itu teramat banyak, namun hamba hanya dapat menukilkan sebahagiannya sepertimana yang telah termaktub di dalam kitab-kitab hadis. Walaubagaimanapun, daku hanya menyatakan maksud terjemahan dari sabdaan Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. :

1. Hadhrat Abu Hurairah (R. ‘anhu) memberitahu bahawa Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. pernah bersabda bahawa Allah s.w.t berfirman, “Sesungguhnya Aku adalah sebagaimana yang disangkakan oleh hambaKu terhadapKu, adalah Aku bersamanya apabila dia mengingati Aku, jika dia mengingati Aku di dalam hatinya maka Aku mengingatinya di dalam hatiKu dan jika dia mengingati Aku dalam jemaah maka Aku ingati dia dalam jemaah yang lebih baik (iaitu dalam jemaah para malaikat yang maksum dan suci dari segala dosa). Apabila hambaku mendekatiKu sejengkal maka Aku dekati dia sehasta. Apabila dia mendekati Aku sehasta maka Aku dekati dia sedepa, dan apabila dia datang mendekati Aku dengan berjalan maka Aku dekati dia dengan berlari.”

[ Riwayat Ahmad, Al-Bukhari, Muslim, At-Tarmizi, An-Nasai, Ibnu Majah dan Al-Baihaqi ]

2. Hadhrat Abu Darda (R. ‘anhu) telah meriwayatkan bahawa Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. bertanya kepada para Sahabatnya (R. ‘anhum), “Mahukah daku khabarkan kepada kamu mengenai sebaik-baik amalanmu yang amat suci di sisi Allah yang meninggikan darjatmu ke peringkat yang tertinggi sekali, yang lebih mulia daripada menafkahkan emas dan perak di Jalan Allah, yang lebih utama daripada menghadapi musuh di tengah-tengah medan jihad, maka kamu tanggalkan lehernya atau mereka menanggalkan lehermu? Para Sahabat berkata, “Bahkan, apakah itu Ya Rasulullah s.a.w.?” Baginda s.a.w. bersabda, “Zikrullah.”

[ Riwayat Ahmad, At-Tarmizi, Ibnu Majah, Ibnu Abi Dunya, Al-Hakim dan Al-Baihaqi ]

3. Hadhrat Abu Sa’id Al-Khudri (R. ‘anhu) memberitakan bahawa Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Berapa banyak orang yang di dunia ini mengingati Allah s.w.t. di kasur yang empuk yang kerananya Tuhan membawa mereka ke peringkat yang tertinggi di dalam Syurga.” Baginda juga pernah bersabda, “Jika sekiranya kamu senantiasa berzikir nescaya para Malaikat akan berjabat tangan denganmu di jalan-jalan dan tempat tidur kamu.” Dalam sebuah hadits lagi Baginda s.a.w telah bersabda, “Telah berjayalah mereka yang unggul sendiri.” Para Sahabat bertanya, “Siapakah yang unggul sendiri, Ya Rasulullah s.a.w.?” Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Ialah mereka yang menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya.”

[ Riwayat Ibnu Hibban dan Muslim ]

4. Hadhrat Abu Musa (R. ‘anhu) memberitakan bahawa Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Perbandingan orang yang berzikir dengan orang yang tidak berzikir adalah seperti orang yang hidup dengan orang yang mati. Orang yang tidak berzikir itu adalah seperti orang yang mati.”

[ Riwayat Al-Bukhari, Muslim dan Al-Baihaqi ]


5. Hadhrat Abu Musa (R. ‘anhu) memberitakan bahawa Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jika sekiranya orang yang mempunyai wang yang banyak lalu membahagi-bahagikan (bersedekah di Jalan Allah) dan seorang lagi sedang sibuk dengan berzikir kepada Allah maka yang berzikir kepada Allah itu adalah lebih utama.”

[ Riwayat At-Tabarani ]

6. Hadhrat Mu’az bin Jabal (R. ‘anhu) memberitakan bahawa Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Bahawa para penghuni syurga setelah tibanya di syurga tidak akan menyesal dan tidak akan berduka cita mengenai suatu apa pun kecuali masa yang telah berlalu dalam dunia tanpa zikrullah.”

[ Riwayat At-Tabarani, Ibnu Abi Dunya, Ahmad, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan Al-Baihaqi ]

7. Hadhrat Abu Hurairah dan Abu Sa’id (R. ‘anhuma) memberitakan bahawa mereka menyaksikan dan mendengar Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidak ada jemaah yang duduk sambil berzikirullah melainkan dikerumunilah mereka oleh para malaikat, diliputinya mereka dengan rahmat, diturunkan ke atas mereka ketenangan dan disebutkan mereka oleh Allah s.w.t. di hadapan mereka yang berada di sisiNya.”

[ Riwayat Ibnu Abi Syaibah, Ahmad, Muslim, At-Tarmizi, Ibnu Hibban dan Al-Baihaqi ]

8. Hadhrat Abu Zar (R. ‘anhu) meriwayatkan bahawa Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Aku nasihatkanmu, kamu hendaklah bertakwa kepada Allah kerana ianya sumber segala amalan. Utamakanlah bacaan Al-Quran dan zikrullah kerana dengan itu nama kamu akan disebut di langit dan menyebabkan nur di permukaan bumi. Perbicarakanlah yang baik-baik atau senyap nescaya syaitan akan terhindar darimu dan kamu akan ditolong tentang urusan-urusan agamamu. Janganlah sekali-kali banyak ketawa kerana dengan itu hatimu akan mati dan cahaya dari wajahmu akan terlenyap.”

“Utamakanlah jihad kerana itulah kebanggaan umatku. Hendaklah mengasihani orang-orang miskin dan menggauli mereka dan perhatikanlah keadaan mereka yang lebih rendah daripada keadaanmu. Janganlah sekali-kali memperhatikan keadaan mereka yang lebih tinggi daripada keadaanmu kerana dengan ini kamu tidak dapat mensyukuri nikmat-nikmat Allah yang telah Dia anugerahkan kepada kamu. Hendaklah mengukuhkan tali persaudaraan dengan kaum kerabatmu walaupun mereka memutuskan perhubungan mereka denganmu.”

“Hendaklah berbicara yang benar walaupun dirasai pahit. Janganlah sekali-kali menghiraukan para pencela mengenai urusan-urusan agama Allah. Carilah keaiban dirimu sendiri, janganlah sekali-kali menghibuhkan keaiban orang lain. Janganlah sekali-kali memurkai seseorang kerana keburukannya yang terlibat di dalam dirimu sendiri.”

“Wahai Abu Zar, tidak ada kebijaksanaan yang lebih bernilai daripada tindakan yang sewajarnya. Sebaik-baik taqwa ialah menjauhi segala larangan dan tidak ada kemuliaan yang setimpal dengan akhlak yang sempurna.”

[ Riwayat At-Tabarani dan Abdu Ibni Hamid ]

9. Hadhrat Muawiyah (R. ‘anhu) memberitakan bahawa sekali Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. keluar menemui satu halqah majlis para Sahabat (R. ‘anhum) lalu Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. bertanya kepada mereka, “Mengapa anda sekelian duduk di sini?” Sahut mereka, “Kami menyebut Allah dan memujiNya atas nikmat agama Islam yang telah dilimpahkanNya kepada kami.” Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Kerana itukah anda sekelian duduk di sini? Aku tak akan meminta kamu bersumpah atau aku hendak menuduh kamu, namun Malaikat Jibrail telah mendatangiku dan mengatakan bahawa Allah s.w.t. membanggakan kamu atas para malaikatNya.”

[ Riwayat Ibnu Abi Syaibah, Ahmad, Muslim, At-Tarmizi dan An-Nasai ]

10. Hadhrat Anas (R. ‘anhu) memberitakan bahawa Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Orang-orang yang berkumpul untuk berzikirullah hanya dengan tujuan mendapatkan keredhaanNya maka seorang malaikat berseru dari langit bahawa dosa-dosamu telah diampunkan dan kejahatan-kejahatanmu telah digantikan dengan kebaikan.” Menurut hadis yang lain, “Sebaliknya jika orang-orang berkumpul di sesuatu majlis kemudian berpisah dari majlis itu tanpa zikirullah maka majlis itu menyebabkan mereka akan menyesal pada hari Kiamat.”

[ Riwayat Ahmad, Al-Bazar, Abu Ya’la, At-Tabarani, Al-Baihaqi, Al-Munziri, Ibnu Hibban,
Al-Hakim dan As-Sayuti ]

11. Hadhrat Muaz Ibnu Jabal (R. ‘anhu) meriwayatkan bahawa Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Tiada seseorang yang mengerjakan sesuatu amalan yang lebih selamat baginya dari siksa kubur daripada zikrullah.”

[ Riwayat Ahmad, At-Tabarani, Malik, At-Tarmizi, Ibnu Majah, Al-Hakim, Az-Zahabi,
Al-Baihaqi, Ibnu Abi Sayibah dan Ibnu Abi Dunya ]

12. Hadhrat Abu Darda Hadhrat (R. ‘anhu) meriwayatkan bahawa Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Allah s.w.t. akan membangkitkan pada hari Kiamat setengah-setengah kaum yang muka-mukanya cemerlang menyilaukan mata. Mereka berada di mimbar-mimbar mutiara. Orang ramai akan mencemburui dan beriri hati dengan mereka sedangkan mereka itu bukannya Nabi dan bukan pula Syahid.” Maka seorang berkata, “Ya Rasulullah s.a.w., terangkanlah kepada kami tanda-tanda mereka supaya dapat kami mengenali mereka-mereka itu.” Sebagai menjawab Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Mereka itu adalah orang-orang yang berasal dari keluarga dan kampung yang berlainan yang datang berkumpul di suatu tempat lalu mencintai Allah dengan menyebutNya.”

[ Riwayat At-Tabarani, Al-Munziri, Ahmad dan Al-Baihaqi ]

13. Hadhrat Anas (R. ‘anhu) meriwayatkan bahawa Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jika kamu melawat pada kebun-kebun syurga maka rasailah kemewahannya sebaik-baiknya.” Seorang sahabat bertanya, “Apakah kebun itu Ya Rasulullah s.a.w.?” Jawab Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w., “Majlis zikrullah.”

[ Riwayat Ahmad, At-Tarmizi, Al-Baihaqi, Ibnu Abi Dunya, Al-Bazar, Abu Ya’la dan Al-Hakim ]

14. Hadhrat Abdullah Ibnu ‘Abbas (R. ‘anhu) memberitakan bahawa Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Jika seseorang daripada kamu yang tidak berani untuk beramal di malam hari, tidak dapat membelanjakan hartanya pada jalan Allah kerana bakhil dan tidak dapat berjuang pada Jalan Allah kerana takut maka hendaklah mengerjakan zikrullah sebanyak-banyaknya.”

[ Riwayat At-Tabarani, Al-Baihaqi, Al-Bazar, Al-Bukhari, At-Tarmizi, Abu Daud dan
Ibnu Majah ]

15. Hadhrat Abu Sa’id Al-Khudri (R. ‘anhu) memberitakan bahawa sesungguhnya Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Hendaklah kamu berzikir sebanyak-banyaknya sehingga orang mengatakan kamu gila.”

[ Riwayat Ahmad, Abu Ya’la, Ibnu Hibban dan Al-Hakim ]

16. Hadhrat Abu Hurairah (R. ‘anhu) meriwayatkan bahawa Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Ada tujuh golongan yang akan dilindungi Allah di bawah RahmatNya pada hari yang tiada perlindungan selain dari lindungan Allah iaitu : [1] Imam pemerintah yang adil [2] Pemuda yang menggunakan masa mudanya untuk beribadah kepada Tuhan [3] Lelaki yang hatinya saban waktu berada di masjid. [4] Dua lelaki yang mencintai satu dengan yang lain kerana Allah. Mereka berkumpul dan berpisah semata-mata kerana Allah [5] Lelaki yang digoda oleh wanita bangsawan lagi jelita lalu dia berkata, “Aku ini takut akan Allah” [6] Lelaki yang memberi sedekah dengan disembunyikannya sehingga tidak tahu tangan kirinya apa yang diberikan oleh tangan kanannya [7] Lelaki yang berzikir mengingati Allah s.w.t. bersunyi diri sehingga berlinangan air matanya.

[ Riwayat Al-Bukhari dan Muslim ]

17. Hadhrat Abu Hurairah (R.’anhu) meriwayatkan bahawa Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Seorang penyeru akan menyeru pada Hari Kiamat, di manakah orang-orang yang berakal? Orang ramai akan bertanya, siapakah yang dimaksudkan dengan orang-orang yang berakal itu? Pertanyaan itu akan dijelaskan seperti berikut : Mereka itu ialah orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan bumi dan langit seraya berkata, Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau maka peliharalah kami dari siksaan api neraka. Mereka akan berjalan mengikuti bendera itu dan dikatakan kepada mereka bahawa masuklah kamu sekelian ke dalam syurga buat selam-lamanya.”

[ Riwayat Al-Asbahani ]

18. Hadhrat ‘Ubadah (R. ‘anhu) meriwayatkan bahawa Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sebaik-baik zikir ialah zikir khafi dan sebaik-baik rezeki ialah yang mencukupi.”

[ Riwayat Ibnu Hibban dan Abu Ya’la ]
19. Hadhrat Abu Hurairah (R. ‘anhu) meriwayatkan bahawa Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Dunia dan apa-apa yang ada padanya dikutuk Allah kecuali zikrullah, apa-apa yang menghampiri kepadanya, alim ulamak dan para penuntut.”

[ Riwayat At-Tarmizi, Ibnu Majah, Al-Baihaqi, At-Tabarani, As-Sayuti dan Al-Bazar ]

20. Hadhrat Jabir (R. ‘anhu) meriwayatkan bahawa Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Zikir yang termulia ialah LA ILAHA ILLALLAH dan doa yang terbaik ialah ALHAMDULILLAH.”

[ Riwayat At-Tarmizi, Ibnu Majah, Al-Munziri, An-Nasai, Ibnu Hibban, Al-Hakim,
Az-Zahabi dan As-Sayuti ]

21. Hadhrat Abu Sa’id Al-Khudri (R. ‘anhu) memberitakan bahawa Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sekali Hadhrat Musa Sallallahu ‘a’aihi wa sallam memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, “Wahai Tuhan ajarkanlah aku akan sesuatu yang dapat aku mengingatiMu dengannya.” Allah berfirman, “Ucapkanlah olehmu LA ILAHA ILLALLAH.” Baginda berkata, “Ya Tuhan, semua hambaMu mengucapkan kalimah ini.” Tuhan berfirman, “Ucapkanlah olehmu LA ILAHA ILLALLAH.” Baginda berkata lagi, “Ya Tuhan, sesungguhnya aku menghendaki sesuatu yang terkhas bagiku.” Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, “Jika tujuh petala langit dan tujuh petala bumi diletakkan di atas sebelah dacing dan LA ILAHA ILLALLAH di sebelah yang lain maka nescaya dacing di sebelah LA ILAHA ILLALLAH itu lebih berat.”

[ Riwayat An-Nasai, Ibnu Hibban, Al-Hakim, Az-Zahabi, Abu Na’im, Al-Baihaqi dan Abu Ya’la ]

22. Hadhrat Abu Hurairah (R. ‘anhu) memberitakan bahawa sekali beliau bertanya kepada Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w., “Siapakah yang akan mencapai kebahagiaan pada hari Kiamat melalui Syafa’at Baginda?” Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. menjawab, “Wahai Abu Hurairah, sesungguhnya setelah aku melihat minat kau terhadap Hadis maka aku menyangka bahawa tentang perkara ini tidak ada seorang pun bertanya sebelummu.” Lantas Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w.bersabda lagi, “Yang akan mencapai kebahagiaan dan keuntungan melalui Syafa’atku ialah orang yang mengucapkan kalimah LA ILAHA ILLALLAH dengan ikhlas dari Qalbnya atau Nafsnya.”

[ Riwayat Al-Bukhari dan Al-Hakim ]

23. Hadhrat Zaid Bin Arqam (R. ‘anhu) meriwayatkan bahawa Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Barangsiapa yang mengucapkan LA ILAHA ILLALLAH dengan ikhlas, dia akan dimasukkan ke dalam Syurga.”

[ Riwayat At-Tabarani ]

24. Hadhrat Abu Hurairah (R. ‘anhu)meriwayatkan bahawa Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tiada seorang hamba yang mengucapkan LA ILAHA ILLALLAH melainkan dibukakan baginya pintu-pintu di langit sehingga kalimah itu terus menuju ke ‘Arasy kecuali orang itu terlibat di dalam dosa-dosa yang besar.”

[ Riwayat At-Tarmizi, Al-Qari, An-Nasai, Ibnu Hibban, As-Sayuti dan At-Tabarani ]

25. Hadhrat Ya’la bin Syaddad (R. ‘anhu) menceritakan suatu peristiwa yang dibenarkan oleh Hadhrat ‘Ubadah (R.’anhu), katanya bahawa sekali kami berada di dalam masjid Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. dengan tak semena-mena Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. bertanya, “Di antara kamu ini adakah seseorang yang bukan orang Islam?” Kami menyahut, “Tidak, Ya Rasulullah s.a.w.” Lalu Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w.menyuruh kami menutup pintu kemudian Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Angkatlah tangan-tanganmu dan ucapkan LA ILAHA ILLALLAH.” Maka kami pun mengangkat tangan-tangan kami dan mengucapkan LA ILAHA ILLALLAH.” Lantas Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Wahai Tuhan sesungguhnya Engkau mengutuskanku dengan kalimah ini. Engkau telah janjikan Syurga dengan kalimah ini dan Engkau tidaklah memungkiri janji.” Seterusnya Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. berkata kepada kami, “Gembiralah kamu kerana Allah s.w.t. telah meengampuni kamu sekelian.”

[ Riwayat Ahmad, At-Tabarani, Al-Hakim, Az-Zahabi dan Al-Bazar ]

26.



































ZIKIR ISMU ZAT

I
smu Zat adalah Allah. Ianya merupakan nama bagi zat yang wajibul wujud yakni kewujudan-Nya adalah wajib serta memiliki segala sifat kesempurnaan dan suci dari segala sifat kekurangan.

Setiap murid atas jalan Naqshbandiyah hendaklah memperbanyakkan menyebut nama Allah di dalam hati tanpa menggerakkan lidah pada setiap masa dan keadaan, baik dalam keadaan berdiri, duduk, berbaring atau berjalan. Para Masyaikh Naqshbandiyah beramal dengan ‘Azimah dan meninggalkan Rukhsah.

Beramal dengan ‘Azimah bererti beramal dengan amalan yang lebih besar nilainya iaitu Fardhu, Wajib, Sunat dan Nafilah manakala meninggalkan Rukhsah bererti meninggalkan keuzuran beribadat.

Kerana itulah para Masyaikh telah memilih Zikir Khafi kerana ada dinyatakan dalam Hadith Nabawiyah bahawa Zikir Khafi (Zikir Hati) lebih baik dari Zikir Jihri (Zikir Lidah) dengan tujuh puluh darjah kelebihan. Pada mula-mula menjalani Tariqat Naqshbandiyah, Para Masyaikh mentalqinkan Zikir Ismu Zat iaitu nama Allah kepada murid mereka dengan kaifiat yang tertentu.

Caranya adalah seperti berikut, iaitu murid hendaklah membersihkan hati dari sebarang Khatrah iaitu kekhuatiran dalam hati dan sebarang khayalan perkataan hati dengan melakukan Istighfar dalam bilangan yang ganjil iaitu sebanyak 25 kali. Lenyapkan segala fikiran tentang perkara yang telah lepas dan yang akan datang.

Mohon perlindungan Allah dari segala kejahatan dan tipudaya Syaitan yang direjam dengan membaca Ta’awuz lalu hendaklah membaca Bismillah dan Surah Al-Fatihah sekali dan Surah Al-Ikhlas bersama Bismillah sebanyak tiga kali dan hadiahkan seluruh bacaan tadi kepada sekelian Arwah Muqaddasah (roh-roh yang telah disucikan) Para Mashaikh Akabirin Silsilah ‘Aliyah Naqshbandiyah Mujaddidiyah.

Seterusnya murid hendaklah membayangkan maut yakni menghadirkan saat kematian diri. Ini merupakan pintu bagi memasuki alam ghaib dan menuju ke Hadhrat Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ianya juga merupakan pintu bagi menghubungi Para Arwah Muqaddasah Mashaikh Akabirin Naqshbandiyah Mujaddidiyah.

Pada waktu berzikir hendaklah melenyapkan segala perkataan, kekhuatiran dan khayalan di dalam hati dan fikiran yang selain Allah. Hati hendaklah menyebut Allah Allah dengan merendahkan diri.

Jikalau kekhuatiran dan khayalan hati itu tidak dapat dilenyapkan, maka hendaklah membayangkan wajah Syeikh iaitu orang yang mentalqinkan Zikir. Bayangan Syeikh hendaklah digambarkan dalam fikiran dikedudukan antara dua kening kemudian berada pada kedudukan bertentangan dengan hati kita lalu memelihara bayangan wajah Syeikh di dalam hati.

Membayangkan wajah Syeikh disebut sebagai Zikir Rabitah. Rabitah yang sempurna ialah apabila kita dapat mengambarkan diri kita sebagai Syeikh. Setelah membersihkan hati dari kekhuatiran dan khayalan hati, hendaklah sibuk melaksanakan Zikir Khafi. Untuk menghilangkan kekhuatiran dan khayalan hati, hendaklah benar-benar merendahkan diri dan hati melakukan Zikir Ismu Zat dengan sempurna

Dalam melaksanakan Zikir, memelihara Wuquf Qalbi sangatlah penting iaitu diri bertawajjuh terhadap hati dan hati bertawajjuh kepada Zat Allah Ta’ala. Wuquf Qalbi amat penting kerana berzikir tanpanya tidak mendatangkan sebarang faedah. Berzikir tanpa Wuquf Qalbi akan mendatangkan kehuatiran dan khayalan hati. Hadhrat Shah Naqshband amat mengutamakan Wuquf Qalbi dan menganggapnya sebagai syarat yang wajib.

Sentiasa berzikir dengan memelihara syarat-syaratnya iaitu tongkatkan lidah ke langit-langit dan dengan menggunakan lidah hati hendaklah menyebut nama Allah di maqam Latifah Qalb iaitu pada kedudukan dua jari di bawah tetek kiri cenderung ke arah ketiak sambil memahami pengertiannya iaitu, Zat Allah adalah bersifat dengan segala sifat kesempurnaan dan suci dari segala sifat kekurangan.

Letakkan dalam fikiran bahawa diri kita beriman dengan Zat Allah tersebut yakni mewujudkan Zat Allah dalam fikiran dan disebutkan sebagai Wujud Zihni. Sewaktu berzikir, badan dan lidah jangan sengaja digerakkan dan bagi seorang Salik, setiap waktunya hendaklah berzikir menggunakan lidah hatinya sehinggalah hatinya menjadi sentiasa berzikir.

Seterusnya hendaklah berzikir Ismu Zat iaitu nama Allah pada maqam Latifah Ruh iaitu pada kedudukan dua jari di bawah tetek kanan. Seterusnya hendaklah berzikir nama Allah pada maqam Latifah Sir iaitu pada kedudukan dua jari dari tetek kiri menghadap ke dada. Seterusnya hendaklah berzikir nama Allah pada maqam Latifah Khafi iaitu pada kedudukan dua jari dari tetek kanan menghadap ke dada.

Seterusnya hendaklah berzikir nama Allah pada maqam Latifah Akhfa iaitu pada kedudukan di tengah-tengah dada. Hendaklah memperbanyakkan Zikir pada setiap maqam Latifah sehingga Zikir menjadi sifat yang lazim bagi hati.

Setelah berhasil melakukan Zikir pada kesemua Latifah Alam Amar, hendaklah berzikir pada maqam Latifah Nafs iaitu pada kedudukan di tengah-tengah dahi dan seterusnya hendaklah berzikir nama Allah pada maqam Latifah Qolibiah iaitu pada seluruh jisim.

Hendaklah berzikir dengan merasakan kedengaran suara dalam diri menyebut nama Allah pada setiap zarrah, urat dan saraf serta seluruh rambut. Ini merupakan amalan dalam Tariqat ‘Aliyah Naqshbandiyah Mujaddidiyah dan biasa dikenali sebagai Sultanul Azkar ataupun Zikir Kulli Jasad.







ZIKIR NAFI ITSBAT

P
ara Masyaikh Naqshbandiyah seterusnya akan mentalqinkan Zikir Nafi Itsbat kepada murid setelah mereka melakukan Zikir Ismu Zat dengan sempurna. Adapun Zikir Nafi Itsbat itu adalah zikir kalimah LA ILAHA ILLALLAH dalam bilangan yang ganjil dengan keadaan menahan nafas dan disertai kalimah MUHAMMADUR RASULULLAH ketika melepaskan nafas.

Cara melakukannya adalah seperti berikut, iaitu hendaklah menahan Nafas di bawah pusat dan tongkatkan lidah ke langit-langit. Dengan menggunakan lidah hati, hendaklah menyebut lafaz LA dengan menariknya dari pusat hinggalah ke otak dan ketika menyebut lafaz ILAHA hendaklah membawanya ke arah bahu kanan dan ketika menyebut lafaz ILLALLAH hendaklah dipalukan ke hati dengan merasakan kesannya terhadap kelima-lima Lataif Alam Amar. Kesan paluan itu juga hendaklah dirasakan ke seluruh anggota tubuh badan yang mewakili kelima-lima Lataif Alam Khalaq (Rajah 3).
LA
ILAHA
ALLAH


ILLA

Rajah 3

S
ewaktu menyebut kalimah yang mulia ini hendaklah memahami akan makna dan pengertiannya iaitu “Daku tidak bermaksud kepada selain dari Zat Allah yang Maha Suci”. Adalah menjadi syarat sewaktu melakukan Zikir Nafi, hendaklah menafikan kewujudan diri dan sekelian yang wujud manakala ketika Zikir Itsbat, hendaklah mengitsbatkan hanya Zat Allah s.w.t. yang Maha Suci.

Zikir ini hendaklah dilakukan dalam keadaan berdiam diri dengan tidak menggerakkan sebarang anggota tubuh badan. Jika murid tidak dapat menahan nafas kerana sukar maka hendaklah berzikir dengan tanpa menahan nafas kerana menahan nafas bukanlah syarat.

Walaubagaimanapun, berzikir sambil menahan nafas amatlah berfaedah kerana dengannya hati akan terasa kepanasan zikir lalu menjadikan hati itu lembut dan mampu menepis sebarang khayalan di samping melahirkan rasa Shauq, Zauq dan Cinta Mahabbah.

Dengan berzikir secara menahan nafas ini juga akan memungkinkan seseorang murid itu dapat mencapai Kashaf. Zikir Nafi Itsbat ini hendaklah dilakukan dalam jumlah bilangan yang ganjil di dalam satu nafas dan ini dikenali sebagai Wuquf ‘Adadi kerana murid perlu memerhatikan dan berjaga-jaga terhadap bilangan yang ganjil.

Para Masyaikh berkata bahawa Wuquf ‘Adadi merupakan matapelajaran awal dalam Ilmu Laduni yang mana dengan mengamalkannya seseorang itu akan memperolehi Kaifiat Ilmu serta Ilmu itu sendiri. Memohon rahsia-rahsia Kashaf adalah menerusi zikir seperti ini yang mana ianya diriwayatkan bersumber dari Hadhrat Khidir ‘Alaihissalam. Sebaik-baiknya dalam satu nafas dapat menyebut 21 atau 23 atau 25 kali Zikir Nafi Itsbat.

Ketika melepaskan nafas hendaklah menyebut lafaz MUHAMMADUR RASULULLAH di dalam hati. Setelah berzikir beberapa lama hendaklah menyebut lafaz Baz Gasyt di dalam hati dengan merendah diri dan penuh harapan iaitu melafazkan :

“Ilahi Anta Maqsudi, Wa Ridhoka Matlubi”

dalam Bahasa Arab yang pengertiannya dalam Bahasa Melayu adalah seperti berikut,

“Ya Tuhanku, Engkaulah maksudku dan keredhaan Mu lah yang ku tuntut”.

Murid hendaklah melazimkan zikir dalam setiap keadaannya sama ada sedang berjalan, berdiri, berbaring, bangun, duduk, makan, minum dan pada setiap masa dan waktu dengan sentiasa memerhatikan keadaan hati [Nigah Dasyat & Wuquf Qalbi] supaya dapat menghasilkan penyucian batin dan melahirkan kehadiran dan tawajjuh hati terhadap Zat Allah Ta’ala.

Antara tanda-tanda penyucian batin di kalangan Ahli Kashaf ialah terzahirnya cahaya-cahaya Nur pada setiap Latifah dan mengalami Musyahadah. Jika seseorang penuntut itu tidak memperolehi sebarang manafaat dan kesan sepertimana yang telah dijelaskan maka amalannya adalah terbatal dan sia-sia serta tidak termasuk ke dalam golongan Ahli Tariqat. Hendaklah dia mengulangi semua amalannya semula dengan memerhatikan kesemua syarat-syaratnya dengan baik.




P
ara Masyaikh Naqshband telah menerangkan cahaya Nur yang berbeza-beza bagi setiap Latifah. Adapun Nur Qalb adalah Kuning, dan Nur Ruh adalah Merah, dan Nur Sir adalah Putih, dan Nur Khafi adalah Hitam, dan Nur Akhfa adalah Hijau. Apabila penuntut menyaksikan Musyahadah cahaya-cahaya Nur ini di luar dirinya maka ianya disebut sebagai Sir Afaqi dan jika dia melihat dan merasakan cahaya-cahaya Nur ini di dalam diri batinnya maka ia dikatakan sebagai Sir Anfusi.

Hadhrat Shah Ghulam ‘Ali Dehlawi Rahmatullah ‘Alaih telah berkata bahawa Sir Afaqi adalah dari bawah ‘Arash sehinggalah sebawah-bawahnya dan Sir Anfusi pula adalah dari atas ‘Arash sehinggalah seatas-atasnya yakni apabila seseorang Salik itu bertawajjuh dari dirinya sehingga ke ‘Arash maka ia adalah Sir Afaqi dan apabila Salik itu tawajjuhnya tertarik ke bahagian atas ‘Arash maka di situlah permulaan Sir Anfusi bagi dirinya.

Para Ahli Kashaf boleh melihat sendiri cahaya-cahaya Nur dalam Musyahadah mereka dan boleh memilih sendiri untuk melakukan mana-mana Siar Afaqi mahupun Anfusi. Walaubagaimanapun, dalam zaman ini pemakanan yang halal sukar diperolehi maka ahli-ahli Kashaf ‘Ayani juga turut berkurangan.

Terdapat dua jenis Kashaf iaitu Kashaf ‘Ayani dan Kashaf Wijdani. Perbezaan di antara dua jenis Kashaf ini ialah seseorang yang memiliki Kashaf ‘Ayani dapat melihat dan Musyahadah secara zahir dan jelas perjalanan dari suatu maqam ke maqam yang lain dan menyaksikan pergerakannya.

Ahli Kashaf Wijdani pula tidak dapat melihat dan menyaksikan sebarang perjalanan dan pergerakan dari suatu maqam ke maqam yang lain tetapi hal ehwal keadaannya dan Warid hasil perubahan dalam dirinya dapat dirasakannya seperti perumpamaan angin yang berhembus, secara zahirnya ia tidak dapat dilihat tetapi dengan keupayaan deria rasa kita dapat merasai kuat dan lembutnya hembusan angin.

Seandainya seseorang penuntut itu langsung tidak dapat merasai perubahan dalam dirinya menerusi Kashaf ‘Ayani mahupun menerusi Kashaf Wijdani, maka mengkhabarkan tentang maqam-maqam Latifah dan perkhabaran baiknya adalah seumpama menyebarkan keburukan nama perjalanan Tariqat.

Semoga Allah mengurniakan kita Kashaf dan memelihara kita dari sebarang keburukan, Amin!

Adapun, jalan yang kedua adalah dengan cara Muraqabah yang akan faqir jelaskan pada lembaran-lembaran berikut.







MURAQABAH

M
uraqabah pada pengertian bahasa bermakna ‘Berjaga-jaga’ namun pada pengertian istilah Tasauf ianya bermaksud ‘Menantikan Limpahan Faidhz’ dari sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Dalil amalan Muraqabah adalah berdasarkan Nas Al-Quran, “Wa Fi Anfusikum, Afala Tubsiruun”, terjemahannya, “Dan didalam diri kamu, apa tidakkah kamu memerhatikannya?”.

Di dalam Ayat Ilahi ini menyatakan bahawa di dalam diri Insan itu terdapat latifah-latifah dengan cahaya Nur yang berbeza yang hanya dapat dikenalpasti menerusi Muraqabah. Apabila kandungan ayat tersebut difikirkan dengan lebih mendalam dapatlah difahami bahawa Dia memerintahkan kita supaya sentiasa berkeadaan Berjaga-jaga dan Syuhud.

Menerusi Muraqabah, seseorang Salik akan dapat menempuh kesemua maqam-maqam Rohani dan di dalam batinnya akan terlimpahlah Nur-nur dan Rahsia-rahsia Rabbaniyah (Ketuhanan) kepada dirinya secara berterusan. Kerana itulah seseorang ‘Arif yang Kamil yang telah mencapai darjat yang tinggi, apa sahaja yang mereka lihat adalah merupakan penglihatan dari matahati. Dari Qalb sehinggalah ke La Ta’yin, kesemua wilayah-wilayah yang merangkumi Sir Qadami dan Sir Nazari adalah terhasil menerusi Muraqabah.

Menerusi Muraqabah jugalah akan mudah terhasilnya Dawam Hudhur iaitu sentiasa berada dalam kehadiran Allah Subhanahu Wa Ta’ala, merasakan bahawa limpahan dari sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala senantiasa terlimpah ke atas kita pada setiap waktu dan keadaan. Ini merupakan martabat Ihsan iaitu merasakan seolah-olah kita melihat Allah Subhanahu Wa Ta’ala ataupun merasakan bahawa Allah Subhanahu Wa Ta’ala sedang memerhati kita. Ihsan juga diistilahkan sebagai Syuhud atau Musyahadah dan inilah merupakan usaha perjuangan Para Aulia dan Asfia, supaya sentiasa berasa Kehadiran Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Muraqabah lazimnya dikaitkan dengan berkhalwat atau bersunyi diri. Khalwat adalah mengosongkan hati dari ingatan selain Allah dan mengosongkan hati dari pandangan terhadap makhluk. Menerusi Muraqabah ianya dapat menghalang hati kita dari mengingati makhluk selain Allah meskipun orang yang bermuraqabah tersebut duduk dan bergaul bersama-sama dengan makhluk.

Adapun sesetengah orang yang melakukan Muraqabah dengan menutupkan kepala dengan kain dan menutup mata adalah untuk membolehkan seseorang Salik itu memberikan Tawajjuh yang sempurna terhadap Zat Allah Ta’ala dengan hati yang tenangdan tenteram. Melakukan Khalwat sambil menutup kepala dengan kain dinamakan Khalwat Saghirah.

Pada permulaan melakukan Muraqabah, hendaklah kita benar-benar memahami Mabda Faidhz (Tempat Punca Limpahan) dan Murid Faidhz (Tempat Terima Limpahan). Hendaklah membayangkan atau mengkhayalkan bahawa suatu limpahan dari sisi Zat Yang Maha Tinggi yang berupa cahaya turun melimpah ke atas hati kita. Adapun niat Muraqabah Ahadiyat adalah seperti berikut:

“Faidhz Mi Ayad Bar Man Az Zate Keh Mustajmi’ Jami’ Sifat Kamal Wa Munazzah Az Har Naqis Wa Zawal. Murid Faidhz Latifah Qalb Man Ast.” [Bahasa Farsi]

“Faidhz Terlimpah Ke Atasku Dari Zat Yang Terhimpun Segala Sifat Yang Sempurna Dan Suci Dari Segala Kelemahan Dan Kekurangan. Tempat Terima Faidhz Adalah Pada Latifah Qalb Ku.”

Bayangkanlah Limpahan Faidhz dari sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang berupa cahaya turun ke atas hati kita dengan Limpahan yang senantiasa mencurah-curah secara berterusan setiap masa dan keadaan sehinggalah kita mendapat kenikmatan dalam Syuhud dan Musyahadah atau disebut Martabat Ehsan yang hanya dapat diperolehi menerusi latihan Muraqabah.

Semoga Allah Memberikan Kita Taufiq.




































SYAJARAH TAYYIBAH
SILSILAH ‘ALIYAH NAQSHBANDIYAH MUJADDIDIYAH

Setiap hari sewaktu terbit dan sebelum terbenam matahari, bacalah "A'uzubillahi min asyaitanir rojim", lalu membaca "Bismillahir rohmanir rohim" dan "Surah Al-Fatihah" sekali dan "Surah Al-Ikhlas" sebanyak 3 kali beserta "Bismillahir rohmanir rohim", kemudian dihadiahkan pahala bacaan tersebut kepada sekelian Arwah Para Masyaikh Silsilah Naqshbandiah Mujaddidiah seperti berikut: "Ya Allah, telah ku hadiahkan seumpama pahala bacaan Fatihah dan Qul Hu Allah kepada sekelian Arwah Muqaddasah Masyaikh Kibaar Silsilah 'Aliyah Naqshabandiyah Mujaddidiyah".Seterusnya membaca Syajarah Tayyibah ini pada kedua-dua waktu yang tersebut.

Bismillahir Rohmaanir Rohiim

1. Ilahi bihurmati Syafi'ul Muznibin Rahmatan lil 'Alamin Hadhrat Muhammad Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa sallam.
2. Ilahi bihurmati Khalifah Rasulullah Hadhrat Abu Bakar Siddiq Radhiallahu 'anhu.
3. Ilahi bihurmati Sohibi Rasulullah Hadhrat Salman Farsi Radhiallahu 'anhu.
4. Ilahi bihurmati Hadhrat Qosim bin Muhammad bin Abi Bakar Radhiallahu 'anhum.
5. Ilahi bihurmati Hadhrat Imam Ja'afar Sadiq Radhiallahu 'anhu.
6. Ilahi bihurmati Hadhrat Bayazid Bustami Rahmatullah 'alaihi.
7. Ilahi bihurmati Hadhrat Khwajah Abul Hassan Kharqani Rahmatullah 'alaihi.
8. Ilahi bihurmati Hadhrat Khwajah Abu 'Ali Faramadi Rahmatullah 'alaihi.
9. Ilahi bihurmati Hadhrat Khwajah Yusof Hamdani Rahmatullah 'alaihi.
10. Ilahi bihurmati Hadhrat Khwajah 'Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah 'alaihi.
11. Ilahi bihurmati Hadhrat Khwajah 'Arif Riwagari Rahmatullah 'alaihi.
12. Ilahi bihurmati Hadhrat Khwajah Mahmud Anjir Faghnawi Rahmatullah 'alaihi.
13. Ilahi bihurmati Hadhrat Khwajah 'Azizan 'Ali Ramitani Rahmatullah 'alaihi.
14. Ilahi bihurmati Hadhrat Khwajah Muhammad Baba Sammasi Rahmatullah 'alaih.
15. Ilahi bihurmati Hadhrat Sayyid Mir Kullal Rahmatullah 'alaihi.
16. Ilahi bihurmati Hadhrat Sayyid Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah 'alaihi.
17. Ilahi bihurmati Hadhrat Khwajah 'Alauddin 'Attar Rahmatullah 'alaihi.
18. Ilahi bihurmati Hadhrat Ya'qub Carkhi Rahmatullah 'alaihi.
19. Ilahi bihurmati Hadhrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'alaihi.
20. Ilahi bihurmati Hadhrat Muhammad Zahid Rahmatullah 'alaihi.
21. Ilahi bihurmati Hadhrat Khwajah Darwish Muhammad Rahmatullah 'alaihi.
22. Ilahi bihurmati Hadhrat Maulana Khwajah Amkangi Rahmatullah 'alaihi.
23. Ilahi bihurmati Hadhrat Khwajah Muhammad Baqi Billah Rahmatullah 'alaihi.
24. Ilahi bihurmati Hadhrat Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sarhindi Rahmatullah 'alaihi.
25. Ilahi bihurmati Hadhrat Khwajah Muhammad Ma'sum Rahmatullah 'alaihi.
26. Ilahi bihurmati Hadhrat Syeikh Saifuddin Rahmatullah 'alaihi.
27. Ilahi bihurmati Hadhrat Sayyid Nur Muhammad Budayuni Rahmatullah 'alaihi.
28. Ilahi bihurmati Hadhrat Syamsuddin Habibullah Mirza Mazhar Jan Janan Syahid Rahmatullah 'alaihi.
29. Ilahi bihurmati Hadhrat Maulana Abdullah Shah Ghulam 'Ali Dehlawi Rahmatullah 'alaihi.
30. Ilahi bihurmati Hadhrat Shah Abu Sa’id Rahmatullah 'alaihi.
31. Ilahi bihurmati Hadhrat Shah Ahmad Sa'id Rahmatullah 'alaihi.
32. Ilahi bihurmati Hadhrat Haji Dost Muhammad Qandahari Rahmatullah 'alaihi.
33. Ilahi bihurmati Hadhrat Khwajah Muhammad 'Utsman Rahmatullah 'alaihi.
34. Ilahi bihurmati Hadhrat Khwajah Haji Muhammad Sirajuddin Rahmatullah 'alaihi.
35. Ilahi bihurmati Hadhrat Maulana Abu Sa'ad Ahmad Khan Rahmatullah 'alaihi.
36. Ilahi bihurmati Hadhrat Maulana Muhammad 'Abdullah Rahmatullah 'alaihi.
37. Ilahi bihurmati Hadhrat Sayyidina wa Murshidina Maulana Khan Muhammad Sahib Mudda Zilluhul 'Ali.
38. Ilahi bihurmati Hadhrat Faqir Jalaluddin Ahmad Ar-Rowi 'Ufiyallahu 'anhu wali walidaihi.
39. Bar Faqir Haqir, Khak Paey Buzurgan, La Syai Miskin........................……………………..'Ufiya 'Anhu Par, Raham Farma Wa Muhabbat Wa Ma'rifat Wa Jam'iyat Zahiri Wa Batini Wa 'Afiati Darain Wa Bahrahi Kamil Az Fuyudzi Wa Barkati In Buzurgan Rozi Ma Kun. Robbana Tawaffana Muslimin, Wa Alhiqna Bissolihin.
[ Kepada hamba yang fakir dan hina yang di bawah tapak kaki para masyaikh yang tiada apa-apa lagi miskin ……..............................……. semoga di ampunkan, kasihanilah kami dan kurniakanlah kasih sayang dan makrifat serta jam'iyat zahir dan batin serta ‘afiat di dunia dan akhirat dan lautan kesempurnaan dari limpahan faidhz dan keberkatan para masyaikh ini. Ya Tuhan kami, matikanlah kami sebagai Muslim dan sertakanlah kami bersama para Solihin. ]
KAIFIAT ZIKIR ISMU ZAT

1. Istighfar - 25x [Astaghfirullaha robbi min kulli zanbin wa atuubu ilaihi]

2. Alhamdu Syarif - 1x [Surah Al-Fatihah dengan A’uzu dan Bismillah]

3. Qul Hu Allah - 3x [Surah Al-Ikhlas dengan Bismillah]

4. Hadiahkan pahala bacaan tersebut kepada sekelian Arwah Para Masyaikh - [Ya Allah! Telah ku hadiahkan seumpama pahala bacaan Fatihah dan Qul Hu Allah kepada sekelian Arwah Muqaddasah Masyaikh Kibaar Silsilah 'Aliyah Naqshabandiyah Mujaddidiyah].

5. Bayangkan hadirnya Maut - [Ucapkan dalam hati, "Aku sudah mati, dimandikan orang, dikapankan orang, disembahyangkan orang, dihantarkan orang jenazah aku ke dalam liang lahad"].

6. Khayalkan hati sedang mengucapkan Allah Allah Allah tanpa menggerakkan lidah.

7. Tawajjuhkan diri terhadap hati dan hati bertawajjuh kepada Allah Taala. Ini adalah Wukuf Qalbi.

8. Sentiasa bermuraqabah dengan mengkhayalkan limpahan Faidhz dari Allah Taala. jatuh ke hati kita.

9. Sesudah beberapa lama kemudian, ucapkan dalam hati dengan rasa rendah diri dan mengharap dengan ucapan :

“Ilahi Anta Maqsudi, Wa Ridhoka Matlubi” - [Bahasa Arab]
“Ya Tuhanku! Engkaulah maksudku dan keredhaan Mu lah yang ku tuntut” – [Terjemahan Melayu]
“Khudawanda! Maqsudi Man Tui Wa Ridhoi Tu, Mahabbat Wa Ma'rifati Khud Badih”
– [Bahasa Farsi]
“Ya Tuhanku! Maksudku hanyalah Engkau dan Keredhaan Mu, Kurniakanlah Cinta dan Ma'rifat Mu”
– [Terjemahan Melayu].

* Ucapan ini disebut sebagai Baz Gasyt. Wukuf Qalbi & Baz Gasyt adalah di antara syarat-syarat Zikir. Jika berwudhuk sangatlah besar faedahnya namun ia bukanlah syarat.

10. Pada waktu kelapangan samada dalam satu majlis atau majlis yang berbilang-bilang, hendaklah mengerjakan zikir ini sebanyak 24 ribu kali sehari semalam, lebih kurang dalam 2 setengah jam untuk dilakukan.

11. Begitulah ketika berjalan, berbaring, bangun dan duduk, samada berwudhuk ataupun tidak, setiap waktu hendaklah tetap tekun berzikir sehinggalah amalan zikir itu menjadi sifat yang lazim bagi hati.

Semoga Allah Memberikan Taufiq

KHATAM KHWAJAGAN
HADHARAT NAQSHBANDIYAH
QADDASALLAHU ASRARAHUM

Berdoa dengan membaca Surah Fatihah

Surah Fatihah - 7 kali

Selawat - 100 kali

Surah Alam Nasyrah - 79 kali

Surah Ikhlas - 1000 kali

Surah Fatihah - 7 kali

Selawat - 100 kali

Ya Qaadhiyal Haajaat - 100 kali

Ya Kaafiyal Muhimmaat - 100 kali

Ya Daafi'al Baliyyaat - 100 kali

Ya Shaafiyal Amrodh - 100 kali

Ya Rafii'ad Darojaat - 100 kali

Ya Mujiibad Da'awaat - 100 kali

Ya Arhamar Rohimiin - 100 kali

Berdoa dengan membaca Surah Fatihah dan menghadiahkan seluruh pahala bacaan tersebut kepada Arwah Hadhrat Khwajagan Naqshbandiah (dari Hadhrat Khwajah 'Abdul Kholiq Ghujduwani hingga Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahimahumullah Ta'ala). Menerusi keberkatannya lalu berdoalah memohon hajat masing-masing dari Allah Qadhiyul Hajat.

ZIKIR KHATAM

KHATAM NABI SALLALLAHU TA'ALA 'ALAIHI WA 'ALA ALIHI WA ASHABIHI WA BARIK WA SALLAM

Allahumma solli 'alaa Sayyidinaa Muhammadin wa 'alaa aali Sayyidinaa Muhammad, solaatan tunjiinaa bihaa min jamii'il ahwaali wal aafaat, wa taqdhii lanaa bihaa jamii'il haajaat, wa tutohhirunaa bihaa min jamii'is sayyiaat, wa tarfa'unaa bihaa 'indaka a'lad darojaat, wa tuballighunaa bihaa aqsol ghoyaat min jamii'il khoyraat fil hayaati wa ba'dal mamaat, innaka 'ala kulli syai in qodiir - 313 kali

KHATAM HADHRAT MAHBUB SUJANI SYEIKH 'ABDUL QODIR JAILANI RAHMATULLAH 'ALAIH

Selawat - 100 kali
Hasbunallahu wa ni'mal wakiil - 500 kali
Selawat - 100 kali

KHATAM HADHRAT KHWAJAH SHAH NAQSHBAND BUKHARI RAHMATULLAH 'ALAIH

Selawat - 100 kali
Ya Khafiyyul Lutfi adrikni bi Lutfikal Khafiy - 500 kali
Selawat - 100 kali

KHATAM HADHRAT IMAM ROBBANI MUJADDID ALF TSANI SYEIKH AHMAD FARUQI SARHINDI RAHMATULLA 'ALAIH

Selawat -100 kali
La haula wa la quwwata illa billah - 500 kali
Selawat - 100 kali

KHATAM HADHRAT SHAH GHULAM 'ALI 'ABDULLAH DEHLAWI RAHMATULLAH 'ALAIH

Selawat - 100 kali
Ya Allah Ya Rahmaan Ya Rahiim Ya Arhamar Rohimiin wa sollallahu 'ala Khoyri Kholqihi
- 500 kali
Selawat - 100 kali

KAIFIAT ZIKIR TAHLIL LISANI

Ilaa Hadhrati Sayyidinaa wa Habiibina wa Syafii'inaa Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam, wa ilaa arwaahi aabaaihi wa ikhwaanihi minal ambiyaai wal mursaliin, solawaatullahi wa salamuhu 'alaihi wa 'alaihim ajma'iin, wa 'alaa aali kulli wassohabati wal qorobati wattaabi'iin wa tabi'it taabi'iina bi ihsaanin ilaa yaumid diin, Al-Fatihah!
Tsumma ilaa ruuhi Hadhrat Sultonul Auliya Mahboobi Sujaani Syeikh 'Abdul Qodiir Jailani Rahmatullah 'alaihi wa ila kulli masyaaikhinaa fit toriqatil Qodiriyyatul Qudsiyyah, Al-Fatihah!
Tsumma ilaa arwaahi kulli masyaaikhinaa fit toriqotin Naqshbandiyyatul Mujaddidiyyah, khassatan ila Hadhrat Syeikhul Masyaikh Khwajah 'Abdul Kholiq Ghujduwani rahimahullah, wa Hadhrat Imamut Toriqah Khwajah Shah Bahauddin Naqshband rahimahullah, wa Hadhrat Imam Robbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi rahimahullah, wa Hadhrati Sayyidinaa wa Mursyidinaa Maulana Khan Muhammad Sahib Mudda Zilluhul 'Ali, lahum Al-Fatihah!
Tsumma ilaa ruuhi Hadhrat Sultonul 'Arifiin Syeikh Ismail Pulau Besar kulli auliyaai wal asfiyaai, lahum Al-Fatihah!
Tsumma ilaa kulli auliyaai wal asfiyaai, fi bilaadinaa wa fi kulli ‘alam, lahum Al-Fatihah!
Tsumma ila arwaahi waalidiinaa wa mu'allimiinaa wa zawil huquqi 'alaina ajma'iin, Al-Fatihah!
Tsumma ilaa arwaahi man ijtama’naa haahunaa bisababihim. Al-Fatihah!

Qul hu Allah - 3 kali
Qul a'uzu bi robbil falaq - 1 kali
Qul a'uzu bi robbin naas - 1 kali
Al-Fatihah - 1 kali
Alif Laam Miim. Zalikal kitabula roybafiih, hudan lil muttaqiin. Allazina yukminuuna bil ghoybi wa yuqiimuunas solaata wa mimma rozaqnahum yunfiquun. Wallaziina yukminuuna bimaa unzilailaika wama unzila ming qoblika wa bil aakhirotihum yuuqinuun. ulaaika 'ala hudamm mirrobbihim, wa ulaaika humul muflihuun.
Wa ilahukum ilaahuw waahid, la ilaaha illa huwar rohmaanur rohiim, Ayat Kursi..... - 1 kali
Lillahi ma fissamawat….Aamanar rasuul......La yukallifullahu nafsan…. - 1 kali
Astaghfirullah - 21 kali
Allahumma solli 'alaa Muhammadin wa'alaa aali Muhammadin wa baarik wa sallim - 10 kali
Afdholuz Zikri, fa'lam annahu, La ilaaha illa Allah
La Ilaaha Illa Allah - 1000 kali
Hasbunallahu wa ni'mal wakiil wala haula wala quwwata illa billahil 'aliyyil 'aziim
Allah - 200 kali
Hasbunallahu wa ni'mal wakiil wala haula wala quwwata illa billahil 'aliyyil 'aziim
Hu - 200 kali
Hasbunallahu wa ni'mal wakiil wala haula wala quwwata illa billahil 'aliyyil 'aziim
Haqq - 200 kali
Hasbunallahu wa ni'mal wakiil wala haula wala quwwata illa billahil 'aliyyil 'aziim
Hayy - 200 kali
Hasbunallahu wa ni'mal wakiil wala haula wala quwwata illa billahil 'aliyyil 'aziim
Allahu Allah Haqq, Allahu Allah Hayy - 50 kali
Hasbunallahu wa ni'mal wakiil wala haula wala quwwata illa billahil 'aliyyil 'aziim
Antal Hadi Antal Haqq, La Ilaaha Illa Hu - 50 kali
Hasbunallahu wa ni'mal wakiil wala haula wala quwwata illa billahil 'aliyyil 'aziim
Ya Hayyu Ya Qayyum - 100 kali
Hasbunallahu wa ni'mal wakiil wala haula wala quwwata illa billahil 'aliyyil 'aziim
Allahumma solli 'alaa Muhammadin wa'alaa aali Muhammadin wa baarik wa sallim - 10 kali

Doa
- Hadiahkan seluruh pahala bacaan zikir ini kepada sekelian Arwah Muqaddasah Masyaikh Kibaar Silsilah Qadiriyyah Qudsiyyah dan Silsilah 'Aliyyah Naqshbandiyyah Mujaddidiyyah, dan bermohonlah kepada Allah agar dikurniakan kita segala limpahan Faidhz secara berterusan seperti yang telah dikurniakanNya kepada mereka dan bermohonlah segala hajat masing-masing.

ISTILAH NAQSHBANDIYAH

[Dari ajaran Hadhrat Khwajah ‘Abdul Kholiq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih]

Yad Kard

Baz Gasyt

Nigah Dasyat

Yad Dasyat

Hosh Dar Dam

Nazar Bar Qadam

Safar Dar Watan

Khalwat Dar Anjuman

[Tambahan dari Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih]

Wuquf Qalbi

Wuquf ‘Adadi

Wuquf Zamani

[Pembaharuan dari Hadhrat Imam Robbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi Rahmatullah ‘alaih]

1.Tariqah Zikir :
Ismu Zat & Nafi Itsbat

2.Tariqah Muraqabah :
Muraqabah Ahadiyat
Muraqabah Latifah Qalb
Muraqabah Latifah Ruh
Muraqabah Latifah Sir
Muraqabah Latifah Khafi
Muraqabah Latifah Akhfa
Muraqabah Ma’iyat – Wilayah Sughra
Muraqabah Wilayah Kubra Daerah Ula
Muraqabah Wilayah Kubra Daerah Tsaniah
Muraqabah Wilayah Kubra Daerah Tsalitsah
Muraqabah Qaus
Muraqabah Isim Az-Zahir
Muraqabah Isim Al-Batin
Muraqabah Kamalat Nubuwat
Muraqabah Kamalat Risalat
Muraqabah Kamalat Ulul ‘Azmi
Muraqabah Haqiqat Ka’bah Rabbani
Muraqabah Haqiqat Al-Quran Al-Majid
Muraqabah Haqiqat Solat
Muraqabah Ma’budiyat Sarfah
Muraqabah Haqiqat Ibrahimi
Muraqabah Haqiqat Musawi
Muraqabah Haqiqat Muhammadi
Muraqabah Haqiqat Ahmadi
Muraqabah Hubbi Saraf
Muraqabah Daerah La Ta’yin

3.Tariqah Rabitah Syeikh

[Usul Asas Tariqah Naqshbandiyah ringkasan dari Hadhrat Shah Ghulam ‘Ali Dehlawi Rahmatullah ‘alaih]

1. Wuquf Qalbi

2. Tawajjuh terhadap sumber Faidhz

3. Nigah Dasyat

4. Dawam Zikir

5. Bersahabat dengan Syeikh